Kumpulan pendesak fitnah pelaksanaan tulisan jawi usaha Islamisasi
BANGI– Petisyen bagi mendesak kerajaan mengharamkan kumpulan pendesak Cina,
Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia
(Dong Zong) yang dilancarkan sejak Ahad, kini sudah mencecah lebih
76,000 tandatangan.
Gerakan Pengundi Sedar (GPS) yang
menggerakkan petisyen berkenaan antara lain mempertikaikan usaha
kumpulan pendesak Cina itu menentang keputusan kerajaan memperkenalkan
khat tulisan jawi untuk pelajar tahun 4 di semua sekolah termasuk
sekolah vernakular.
“Baru-baru ini, kerajaan mahu
memperkenalkan tulisan jawi dan khat di sekolah vernakular kerajaan
(SJKC dan SJKT) untuk pelajar tahun 4.
“Dong Zong merupakan antara paling awal
bermati-matian menentangnya dengan menekan kerajaan dengan pelbagai
tuntutan. Mereka juga mengumpulkan NGO-NGO Cina dan India dan menghasut
mereka menentang usaha ini.
“Akhirnya kerajaan bertolak ansur dengan
melonggarkan syarat-syarat implementasinya sehingga pembelajaran ini
menjadi pilihan (optional) dan setakat tiga muka surat dalam buku teks,”
kata GPS dalam petisyen berkenaan.
GPS berkata, kumpulan pendesak itu bahkan
tidak berpuas hati dengan tolak ansur kerajaan dan cuba bermain dengan
sentimen agama pula, apabila memfitnah tulisan jawi dan khat sebagai
satu usaha Islamisasi masyarakat bukan Islam.
“Kini, mereka mahu gerakkan satu petisyen
membantah tulisan jawi. Ini menimbulkan fitnah yang besar kepada negara
terutamanya umat Islam di Malaysia.
“Selain itu, mereka menuntut agar sijil
peperiksaan persendirian (UEC) diterima sebagai tiket untuk masuk ke
universiti awam (IPTA) walaupun kerajaan sudah memberikan ruang untuk
mereka masuk ke universiti swasta dan universiti kerajaan negeri,”
katanya.
Setakat jam 11 pagi tadi, seramai 76,666 orang telah menandatangani petisyen berkenaan di platform change.org
No comments:
Post a Comment