Sunday, August 25, 2019

Ramasamy persoal ‘pusingan U’ menteri berhubung Zakir Naik

Dr Zakir Naik tiba di Bukit Aman minggu lepas untuk disoal 
siasat.
 
PETALING JAYA: Perang mulut antara pemimpin DAP P Ramasamy dengan pemimpin PPBM berhubung Dr Zakir Naik ternyata belum mereda.

Terbaru, timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu membidas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas perkembangan yang kelihatan seperti pusingan U di pihak menteri pusat tersebut berhubung penceramah kontroversi itu.

Malam tadi Syed Saddiq, yang sebelum ini menggesa Naik diekstradisi, meminta rakyat Malaysia supaya melupakan isu tersebut berikutan keputusan perdana menteri untuk tidak menghantar pulang Naik.
P Ramasamy.
“Negara perlu dipulihkan,” kata ketua Pemuda PPBM itu selepas menerima kunjungan Naik dan anak beliau, Tariq, di kediamannya malam tadi.

Ramasamy berkata, pusingan U Syed Saddiq mengejutkan ramai rakyat Malaysia.

Beliau berkata, jika penceramah popular itu benar-benar meminta maaf kepada umum, maka ia mungkin menjadi sebab mengapa Syed Saddiq berubah pendirian.

“Naik tidak pernah meminta maaf atas ucapan provokasinya yang menghina dan melukakan perasaan penganut agama Hindu dan orang Cina. Beliau hanya meminta maaf kepada pihak yang menyalahtafsir kandungan ucapan tersebut tanpa memahami konteksnya.

“Jadi Syed Saddiq, apakah jenis permintaan maaf Naik itu?”

Selain Syed Saddiq, anggota Majlis Tertinggi PPBM Mohd Rafiq Naizamohideen juga menggesa pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) bertenang dan berhenti mendesak perdana menteri supaya mengekstradisi Naik.

Semalam Rafiq berkata, pemimpin parti komponen kerajaan seperti Ramasamy harus menghormati pendirian Mahathir.

Dalam pada itu, persatuan veteran tentera, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) juga menggesa rakyat Malaysia supaya melupakan isu itu setelah Naik memintaa maaf atas kenyataan kontroversi beliau.

Presidennya Arshad Raji berkata, selama 15 bulan terakhir ini negara telah “membuang terlampau banyak masa” dengan bertelingkah mengenai isu kaum-agama yang diapi-apikan oleh parti pembangkang serta pergelutan kuasa dalam pakatan kerajaan.

Katanya, ini menghalang usaha yang sepatutnya digunakan bagi menunaikan janji pembaharuan.

“Mari kita melangkah ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, selain berharap Naik ikhlas dalam membuat permohonan maaf itu dan penceramah kelahiran Mumbai tersebut mendapat pengajaran untuk tidak menyentuh isu sensitif.

Naik berdepan masalah dengan pihak berkuasa berikutan ceramahnya di Kelantan yang didakwa mempersoal kesetiaan orang Hindu di Malaysia. Beliau juga dikatakan mempersoal kedudukan masyarakat Cina di negara ini.

Beliau kemudiannya meminta maaf berhubung perkara itu tetapi mendakwa kenyataannya selalu disalah petik. Naik turut dipanggil untuk memberi keterangan oleh polis selepas lebih 100 laporan dibuat terhadap beliau.

No comments: