Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman
Identiti negara sedang dirombak oleh pihak dominan ketika ini
HEGEMONI ialah pengaruh
kuasa yang mendapat keakuran rakyat secara sukarela. Selama lebih 50
tahun, majoriti rakyat akur dengan hegemoni orang Melayu. Bahasa,
budaya, agama Persekutuan, identiti dan naratif sejarah negara ini
berpaksikan kepada pegangan orang Melayu.
Hegemoni ini disemai oleh pihak dominan –
kerajaan Perikatan kemudian BN – menerusi proses pendidikan formal, non
formal dan informal; dalam silibus sekolah dan universiti,
kursus-kursus jati diri, persekitaran dalam badan-badan kerajaan,
acara-acara rasmi, media di bawah pengaruh kerajaan dan lain-lain.
Bagaimanapun, hegemoni Melayu ini
akhirnya dicabar, dipersoal dan dalam proses penghapusan sekarang. Ini
berpunca daripada dua kesilapan UMNO (pihak dominan masa itu), satu
kesilapan PAS sebagai pencabar terdekat pihak yang dominan.
Kesilapan pertama UMNO ialah tidak jujur
dengan perjuangan bangsa; pimpinan lebih sibuk bolot peluang untuk
kepentingan sendiri berbanding mengukuhkan identiti negara. Sebagai
contoh tulisan jawi mati di tangan mereka. Akhirnya, retorik agama,
bangsa, tanah air hanya untuk kekalkan kuasa UMNO.
Kesilapan kedua UMNO ialah memberi muka
kepada sekolah vernakular, yang membuka peluang kepada penyemaian
hegemoni Cina dan India dalam persekutuan Tanah Melayu, sehingga
melahirkan generasi warganegara yang bukan saja jahil dengan identiti
negara, malah membencinya.
Kesilapan PAS ialah bermesra dengan DAP,
yang telah merombak naratif wajah hodoh DAP di minda anak muda Melayu
selama ini sebagai penerus perjuangan Parti Komunis Malaya.
Membersihkan
air muka DAP sama dengan bencana, manakala membawa DAP ke kerusi kuasa
(kesilapan Tun) sama dengan malapetaka.
Kini, pihak yang dominan, PH yang
ditunjangi generasi sekolah vernakular yang berkiblatkan identiti asing,
sedang berusaha keras menyemai hegemoni bukan Melayu ke atas rakyat
negara ini. Identiti negara ini sedang dirombak. Orang Melayu kecoh,
tapi lama-lama mereka akan akur secara sukarela.
Itu sebab mereka sentuh silibus agama dan
sejarah, selain protes berterusan terhadap apa-apa saja berkaitan
identiti Islam dan Melayu negara ini. Selain kuasa hegemoni, mereka juga
mengasak Melayu ke satu sudut; keterpaksaan melutut kepada Kapitalis
setelah lengkap negara dimiskinkan nanti.
Nota: Tulisan tidak bertujuan mencari
kesalahan, tetapi menerangkan mengenai konsep hegemoni yang menjana
keakuran sukarela, kaedah menjayakan dan faktor penggagalannya.
*Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman, Naib Presiden Berjasa
No comments:
Post a Comment