Tuesday, August 27, 2019

Bersatu, sila ingat niat asal masuk ke Sabah - Penganalisis

Hasimi Muhamad, Astro Awan
Bersatu, sila ingat niat asal masuk ke Sabah - Penganalisis
Rosalam berpendapat, mustahil untuk Sabah mempunyai dua parti dominan memandangkan ia kini diterajui Warisan.
 

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya kembali kepada niat asal mereka melebarkan sayap ke Sabah, iaitu mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri, dan bukannya menjadi parti dominan.

Penganalisis politik Profesor Dr Rosalam Sarbatly berkata, mustahil untuk mempunyai dua parti dominan di Sabah memandangkan negeri itu kini diterajui Warisan, pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Dalam konteks di Sabah, kita lihat (kembali) asas penubuhan dan parti yang sedia ada di sini. Kita tahu bahawa terdapat pelbagai parti di Sabah - Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan terbaharu adalah Bersatu.

“Sekiranya formula yang baik digunakan, InsyaAllah dia (Bersatu) boleh membantu bersama-sama Warisan dan PH untuk berkembang di Sabah.

"Tetapi, untuk menjadi dominan, itu mungkin agak sukar kerana masing-masing mahu menjadi dominan. Dan kita tahu Warisan memang sudah bertapak di sini dan mempunyai banyak kerusi di Sabah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
 
BACA: Video 'Bersatu seperti UMNO' itu cerita lama - Shafie Apdal

Di sebalik “menanam” hasrat tersebut, Rosalam menambah, Bersatu sepatutnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada Warisan.

Ini kerana, ujarnya, jika perkara itu berlaku ia boleh menggugat kestabilan politik kedua-dua parti.

“Jadi, satu perbincangan yang lebih mendalam perlu dilakukan, sepertimana yang dikatakan oleh (Pengerusi Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, tujuan Bersatu melebarkan sayap ke Sabah adalah untuk membantu parti kerajaan iaitu parti Warisan.

“Jadi, macam mana sebenarnya falsafah di sebalik untuk membantu kerajaan itu? Kena faham asas penubuhan dia (Bersatu di Sabah) dan itu sendiri telah dinyatakan oleh Dr Mahathir apabila meminta Bersatu masuk ke Sabah,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor memaklumkan Bersatu menanam hasrat untuk menjadikan parti itu sebagai parti dominan di Sabah.

BACA: Bersatu Sabah berhasrat jadi parti dominan negeri itu

Beliau berkata, impian berkenaan adalah berdasarkan platform Bersatu yang mula diterima orang ramai di negeri itu.

Kemasukan Bersatu ke Sabah pada mulanya ditentang Warisan, dengan Shafie sendiri menggesa parti itu berpegang kepada janji yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14 untuk tidak mengembangkan sayap ke negeri itu.

Bagaimanapun, Shafie kemudian mula “berlembut hati” dengan tidak lagi menghalang Bersatu memasuki ke negeri itu kerana tiada undang-undang yang melarangnya.

Dr Mahathir menegaskan langkah itu bukan untuk mencabar kedudukan Warisan tetapi mengukuhkannya.

No comments: