Tuesday, August 13, 2019

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Najib, kes 1MDB tetap pada 19 Ogos

MALAYSIAKINI

   

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB yang dijadualkan bermula pada Isnin, 19 Ogos ini.

Lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan itu selepas mendapati hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan itu tidak terkhilaf dalam pelaksanaan budi bicaranya.

Turut bersidang ialah Azahar Mohamed; David Wong Dak Wah; Rohana Yusof dan Idrus Harun.

Sehubungan itu, perbicaraan kes 1MDB yang juga dikenali sebagai ‘perbicaraan Tanore’ akan bermula pada 19 Ogos hingga 29 Ogos ini dan kemudian bersambung sepanjang September serta Oktober hingga 14 November ini.

Keputusan hari ini akan menyaksikan pertindihan tarikh dengan kes penyelewengan dana SRC International yang sedang berjalan dan turut membabitkan bekas perdana menteri itu jika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Najib untuk membela diri.

Pihak pembelaan dijangka selesai menggulung soalan terhadap saksi terakhirnya pada Rabu ini.

Sebelum ini pihak pendakwaan gagal sebanyak tiga kali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menangguhkan kes tersebut.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion.


No comments: