SEORANG jemaah haji Malaysia yang dalam perjalanan pulang selepas melontar di jamrah di Mina meninggal dunia akibat serangan jantung malam tadi.
Setakat ini, sembilan jemaah haji disahkan meninggal dunia ketika mengerjakan ibadat haji musim ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, jemaah berkenaan dikenali sebagai Faridah Abdul Latif, 65, dari Rompin, Pahang dan menginap di Maktab 86 dan tiba di Tanah Suci pada 31 Julai melalui KT52.
"Allahyarham dalam perjalanan balik ke khemah sebelum mengalami serangan jantung ketika berada dalam terowong Muassim dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.05 malam," katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Rawatan Tabung Haji Syisyah di Makkah, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Md Nor Yusof dan Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Dalam lawatan itu, Fuziah turut berasa bangga atas kewujudan mini hospital itu yang banyak membantu jemaah ketika mengerjakan haji.
Melalui program itu, pesakit yang sedar akan dibawa seketika untuk berada di Arafah selepas masuknya waktu wukuf menggunakan ambulans dan bas khas untuk membolehkan mereka melaksanakan salah satu rukun haji itu.
Bagaimanapun, terdapat enam jemaah haji yang kritikal dan sedang mendapatkan rawatan di hospital Arab Saudi tidak dapat dibawa ke Arafah kerana koma.
Beliau berkata, kebanyakan mereka menghidap penyakit kritikal seperti masalah jantung, jangkitan kuman di paru-paru dan penyakit tibi.
Fuziah berkata, rombongan perubatan untuk musim haji tahun ini terdiri daripada 23 doktor pakar, 38 doktor dan 226 lain-lain anggota perubatan.
"Pusat rawatan Syisyah mempunyai 197 katil dan beberapa kemudahan makmal yang baik, klinik gigi, klinik psikiatri dan sebagainya," katanya.
Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain
No comments:
Post a Comment