Monday, August 12, 2019

Suspek hina Islam ditahan

Nor Farhani Che Ad
 
 
 

POLIS, semalam, menahan seorang lelaki dari Kulim, berhubung isu penghinaan terhadap agama Islam berkaitan sambutan Aidiladha.

Lelaki berusia 34 yang bekerja sebagai pemotong rumput itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang, 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, sepasukan polis dari IPD Kulim melakukan tangkapan terhadap lelaki terbabit ketika suspek datang membuat laporan polis di IPD SPS berhubung kehilangan telefon bimbit miliknya.

“Tangkapan dilakukan susulan satu laporan polis yang dilakukan oleh seorang individu yang tidak berpuas hati ke atas pemilik akaun Facebook menggunakan nama ‘Suresh Ayaru’ yang menghina Islam.

“Lelaki terbabit dikenal pasti sebelum ditahan ketika suspek datang ke IPD SPS untuk membuat laporan polis tentang kehilangan telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, lelaki terbabit direman empat hari bermula hari ini

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya.

Terdahulu, lelaki terbabit dikatakan memuat naik teks di media sosial berbaur penghinaan terhadap sambutan Aidiladha.

Suspek yang dipercayai menetap di Taman Selasih, Kulim itu turut menghina ibadah korban dan solat yang dilakukan umat Islam.

No comments: