Monday, August 12, 2019

18 nelayan buntu hilang punca rezeki

Hassan Omar
 
 

SERAMAI 18 nelayan di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah di sini, terputus punca rezeki berikutan perahu mereka tidak mampu diturunkan ke laut akibat pembentukan tebing pantai setinggi kira-kira 1.5 meter susulan hakisan yang kian serius.

Tebing berkenaan semakin meninggi selepas hakisan yang semakin serius sejak tiga minggu lalu menyebabkan pasir pantai dikorek sebelum dibawa ke laut, sekali gus menyebabkan perahu gentian kaca mereka tidak boleh diturunkan.

Nelayan Othman Ibrahim, 64, berkata, hakisan itu terbentuk akibat ombak dan arus pasang surut laut yang dibawa angin selatan sejak awal Julai lalu menyebabkan tebing pantai semakin meninggi.

“Ombak dan arus pasang surut angin selatan memang sifatnya mengeruk pasir pantai untuk dibawa masuk ke laut berbanding angin barat atau barat daya yang sifatnya menghantar pasir laut ke pantai.

“Perkara ini memang berlaku setiap tahun apabila tiba musim angin selatan tetapi tahun ini, hakisan adalah yang paling teruk berbanding tahun lalu dan sebelumnya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, tiada nelayan yang mampu menolak perahu gentian kaca untuk turun ke muka ombak kerana tebing berkenaan terlalu tinggi dan tidak menyediakan ruang untuk perahu menggelongsor turun.

Menurutnya, kereta kayu beroda yang digunakan sebagai alat untuk membawa perahu turun ke muka ombak juga tidak boleh ditolak melepasi tebing berkenaan kerana dibimbangi ia patah atau menyebabkan kerosakan pada roda.

“Kami amat berharap kerajaan membina benteng pemecah ombak berbentuk melengkung di bahagian hujungnya bagi membentuk lagun yang menghalang ombak atau arus pasang surut laut menghakis pantai,” katanya.

Bagi Senin Jantan, 57, berkata, dia dan anaknya tidak dapat turun ke laut sejak minggu lalu berikutan tebing yang semakin meninggi, sekali gus menyebabkan mereka kehilangan sumber rezeki.

Katanya, dia dan anaknya kini terpaksa mengambil upah membantu rakannya menukang rumah di Kuala Linggi bagi menampung keperluan perbelanjaan harian sambil mengharapkan masalah hakisan pantai mampu diatasi segera.

No comments: