Ahad, 3 Februari 2019

UMNO TERENGGANU SEDIA TERIMA BEKAS AHLI

Wartawan Watan-Online


UMNO Terengganu terbuka untuk menerima semula bekas pemimpin dan ahlinya yang bertindak keluar parti sebelum ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata pimpinan parti di peringkat negeri sentiasa mengalu-alukan sekiranya ada pemimpin termasuk Ahli Parlimen untuk kembali menyertai semula parti tersebut.

Katanya UMNO negeri turut menerima bekas Ahli Parlimen yang keluar parti dan mengumumkan menyertai Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Secara peribadi, UMNO negeri bersedia menerima semula kemasukan kerana bekas pemimpin yang mengambil keputusan meninggalkan parti sebelum ini adalah semua rakan baik dan pernah berjuang bersama saya,” katanya lapor media ketika ditemui selepas berucap merasmikan program UMNO Bangkit di Akar Umbi peringkat UMNO Bahagian Marang, di Terengganu pada Sabtu.

Walaubagaimanapun, Ahmad Said berkata bekas ahli yang berniat untuk kembali mestilah melalui prosedur peraturan yang telah ditetapkan parti dan bersedia untuk menjadi ahli biasa.

“Keputusan penuh permohonan untuk kembali semula ke pangkuan UMNO akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.

“Sebetulnya ada antara mereka ingin menyertai semula UMNO, tetapi segan untuk menemui dan menyerahkan borang keahlian secara terus kepada saya selepas mereka mengakui terpedaya serta dipermainkan pemimpin parti dalam PH,” katanya.


Tiada ulasan: