ULASAN | Kemenangan di Cameron Highlands adalah saat yang mengujakan bagi BN. Semangat parti itu dikatakan semakin membara. Pada 2 Mac nanti, kerusi DUN Semenyih pula diimpikan bakal ditawan BN.
Kemenangan di Semenyih perlu bagi BN untuk mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu semakin kuat. Sekurang-kurangnya boleh mengubat duka dan menjadi katalis untuk menjulang semula moral parti itu selepas terlucut kuasa pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Namun perlu diingat, tugas untuk merampas kerusi Semenyih bukan semudah seperti yang disangka.
Semenyih bukan Cameron Highlands. Walaupun PAS pernah mendapat hampir 7,000 undi pada PRU lalu di situ, namun itu bukan jaminan undi rakan kongsi politiknya itu akan masuk penuh ke saku parti itu. Jika BN terlalu yakin, parti itu akan berdepan kesilapan yang amat besar.
Pakatan Harapan (PH) telah banyak belajar daripada kekalahan di Cameron Highlands. Sudah tentu parti pemerintah itu akan berusaha untuk menangguhkan impian BN kali ini.
Walaupun BN akan dibantu oleh PAS, namun PH pasti bagaikan harimau yang terluka. Garangnya tidak boleh diduga. Apatah lagi gelanggang kali ini mungkin berbentuk lebih daripada tiga penjuru.
Para pemimpin PH tentunya tidak mahu memupuk garam ke pangkal luka. Kekalahan di Cameron Highlands memberikan mereka pengalaman yang amat memeritkan. Ia bak mimpi yang mengerikan.
'Isu kos sara hidup'
Harga diri sebuah parti yang telah menguasai Putrajaya lebih sembilan bulan mesti dipertahankan.
Parti itu bukan sahaja tidak mahu pisang berbuah dua kali, tetapi akan memastikan kemenangan pada PRK Semenyih tidak boleh ditangguhkan oleh BN.
Maka, bersedialah BN. Walaupun Semenyih bukan ibu kepada segala pilihan raya, tetapi ia adalah medan harimau terluka menunjukkan taringnya.
Banyak 'ubat' sedang digunakan PH untuk merawat 'luka' selepas kekalahan di Cameron Highlands.
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli telah berjanji untuk mengadakan sesi temuduga pekerjaan terbesar melibatkan ratusan ribu pencari kerja pada minggu ini atau minggu depan. Ramai yang sinis dan skeptikal tapi jika ia terlaksana, matilah nak!
Tanpa berselindung Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga memberi teguran terbuka. Isu kos sara hidup khususnya di kalangan rakyat miskin mesti segera diberi tumpuan.
Maknanya, masalah rakyat yang ‘kelaparan’ (bukan kebulur kerana tidak makan) mulai diberi perhatian. Isu janji daripada manifesto lalu juga kembali disentuh. Rais Yatim misalnya tanpa bersembunyi mahukan tol segera dimansuhkan bayarannya.
Nampak PH seperti tidak mahu berlawak lagi. Ada keseriusan pada raut wajah kepemimpinan utama parti itu dalam beberapa perkara berkaitan kemarahan rakyat.
Entah apa pula tuahnya, tiba-tiba sesuatu tidak diduga datang pula bergolek. Menjelang pengundian di Semenyih, isu penyelesaian luar mahkamah berkaitan artikel RM90 juta di antara Hadi Awang dan Sarawak Report tiba-tiba datang tanpa diundang.
Maka, tepuklah dada, tanya selera. Jamahlah secara berjemaah isu ini bagai menjamu nasi ambeng pada majlis kenduri kahwin! Najib Razak mungkin turun kali ini, tapi bersedialah untuk memakai helmet tutup penuh!
Calon orang Minang
Kesilapan meletak calon pada PRK Cameron Highland tidak sepatutnya berulang. Demografi pengundi di Semenyih amat berbeza.
Hampir 60 peratus adalah pengundi Melayu. Dan perkara perlu diingat oleh PH ialah majoriti kalangan pengundi Melayu ini berketurunan Minangkabau. Ya, keturunan Minangkabau, bukannya keturunan Bugis atau Orang Asal.
Pasti ada yang tertanya, apa istimewanya orang Minangkabau. Jawapannya, orang Minangkabau memang sama dengan semua suku kaum di negara ini. Bezanya, kali ini pilihan raya akan diadakan di Semenyih, di kawasan majoriti Melayu berketurunan Minangkabau. Itu jawapannya!
Begitu juga dengan pepatah: ‘Muluik manih talempong kato, baso balak gulo dibibiak’ yang ertinya, seseorang yang berbicara dengan lemah lembut dan baik susunan bahasanya amat disukai.
Orang Minangkabau juga berharapkan adanya pemimpin yang boleh menyampaikan sesuatu termasuk janji dengan perkataan yang baik, sedap didengar serta tidak berbolak-balik. ‘Anjalai pamaga koto,tumbuah sarumpun jo ligundi, kalau pandai bakato kato, umpamo santan jo tangguli’.
Malah rasanya, pengundi di Semenyih tidak akan membawa baldi atau timba untuk menadah air mata pokok yang menangis kerana mereka tahu, itu hanyalah air kencing daripada kumpulan riang-riang.
Mesejnya mana-mana parti yang bertanding jangan jadi riang-riang, kasihan pengundi. Nah, jika itu keperluan majoriti penduduk setempat, sudahkah PH mempunyai calonnya?
Calon daripada masyarakat setempat yang baik budi, baik bahasa dan baik tingkah lakunya? Jika belum, sekarang masanya. Bukan esok atau lusa. Hakikatnya, calon terbaik bagi PH di PRK Semenyih mestilah calon tempatan. Lebih beruntung jika daripada kalangan penduduk Minangkabau.
Ubat rawat kegatalan
Memiliki KBAT amat penting kerana sebagai calon, jika menang beliau akan menjadi seorang wakil rakyat. Wakil rakyat pada sudut pandang masyarakat hari ini bukannya seorang bos, tetapi adalah kuli kepada masyarakat yang mengundinya.
Kita tidak mahu nanti adanya cerita seorang pengundi mengadu dan marah-marah: “Eden bagitau jalan dan lampu isyarat rosak. Eden bagitau lokasi dan eden tunjukkan gambar sekali. Tibo-tibo wakil rakyat atau ahli majlis kato, jalan ini bawah kuaso JKR ko? Lampu isyarat ini bawah kuaso majlis ko?"
Jangan. Ya, jangan sampai boleh berlaku begitu. Rakyat tidak mahu tahu itu semua kuasa siapa. Yang mereka mahu kerosakan yang dilaporkan mesti diperbaiki.
Di sinilah, contohnya kenapa calon bertanding dalam pilihan raya, dalam konteks ini di Semenyih mestilah pemimpin yang ada KBAT. Orang yang boleh berfikir bijaksana dan panjang.
Jika PH mampu menampilkan calon yang mempunyai kriteria itu, peluang parti itu untuk menangguhkan kemenangan BN mungkin akan berhasil. Faktor calon yang betul dijangka mampu menangkis cabaran yang diberikan oleh parti pembangkang.
Selain itu, PH mesti bersedia untuk melakukan pembetulan. Jangan sekali-kali diturunkan pemimpin yang tidak mesra, hanya tahu berswafoto dan tidak pandai bertutur dalam bahasa Malaysia pada kempen kali ini. Ini hanya akan menyulitkan komunikasi terutama ketika culaan dari rumah ke rumah dilakukan untuk mendekati pengundi.
Ya, PRK Semenyih kali ini menyediakan satu piala yang amat besar nilainya di segi moral. Jika piala ini jatuh ke tangan PH, bernasib baiklah.
Tapi jika piala ini milik BN, maka PH sebagai parti pemerintah di peringkat persekutuan dan negeri akan memerlukan lebih banyak ubat. Ubat untuk merawat kegatalan sepanjang hayat politiknya.
*A HAMID KARIM ialah bekas wartawan dan pemenang Anugerah Kajai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan