Jumaat, 22 Februari 2019

Tidak wujud cubaan beli undi – Muhyiddin

Nizam Zain

Muhyiddin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diiringi calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali (kiri) bercakap kepada media selepas menunaikan solat Jumaat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Masjid Kampung Batu 3, Jalan Bangi Lama, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK
 

SEMENYIH – Pemberian hamper dan surat rasmi kerajaan tawaran bantuan baik pulih rumah kepada salah seorang pengundi di Sungai Jai di sini sebenarnya bukan cubaan untuk membeli undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya menegaskan, bantuan itu sebenarnya telah diatur lebih awal oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebelum pilihan raya itu.

“Jadi ini (program) tak membabitkan pilihan raya, apa yang mereka setuju, permohonan mereka sudah terima lama daripada kerajaan lama diputuskan dan dibuat sebelum pilihan raya.

“Bagi satu itu bukan satu pelanggaran, kalau mereka nak buat laporan, buatlah, mungkin mereka beranggapan Pakatan Harapan (PH) beli undi,” katanya pada sidang media selepas selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Batu 3 hari ini.

Hadir sama calon PH, Muhammad Aiman Zainali.
MGF22022019_TSMY SOLAT JUMAAT05
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin 
(dua kanan) bersalaman dengan orang ramai selepas menunaikan 
solat Jumaat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih 
di Masjid Kampung Batu 3, Jalan Bangi Lama, Semenyih. foto 
SYAFIQ AMBAK
Beliau mengulas dakwaan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir hari ini bahawa PH cuba membeli undi seorang pengundi di Sungai Jai, di sini.

Mohd Zaidy berkata, ketika Barisan Nasional (BN) mengadakan program ziarah kasih, mereka mendapati terdapat sebuah hamper dan sampul surat rasmi daripada kerajaan di dalam rumah salah seorang pengundi di Sungai Jai.

Selain itu terdapat risalah PH di hamper tersebut dan di atas surat rasmi tertulis tawaran baik pulih rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Muhyiddin juga berkata, Menteri Pembangunan Luar, Datuk Seri Rina Mohd Harun telah menjelaskan kepada beliau bahawa program itu bukan baharu bahkan ia diteruskan sejak pentadbiran lepas.

“Saya telah dapat kenyataan daripada Datuk Seri Rina yang terlibat dari segi perumahan rakyat miskin, beliau memaklumkan program-program itu telah dibuat sebelum pilihan raya,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada semua jentera PH agar mereka mematuhi peraturan dan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh berkempen.

“Saya sudah keluarkan arahan awal lagi, PH kita keluar arahan dalam taklimat saya kata patuh arahan kepada SPR, bermakna nak buat apa-apa pun jangan masa pilihan raya sudah berjalan

“Bila berjalan, kita tahu bahawa ini halangan dan sekatan, maka pihak kita tidak akan melakukan apa-apa yang akan melanggar undang-undang dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: