Sabtu, 2 Februari 2019

Tak mustahil tundukkan PPBM di Semenyih

Wartawan MalaysiaGazette

xMGF24012019_PC-ANNUAR-MUSA04-681x454
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media khas sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional percaya tidak mustahil untuk menjinakkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih pada 2 Mac ini.

Bagaimanapun misi itu diakui bukan mudah kerana PPBM sebuah parti kerajaan yang menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, secara logik, biasanya BN tidak mungkin mampu menewaskan PPBM dan Pakatan Harapan (PH) yang menang di Semenyih dengan majoriti hampir 9,000 undi selain kuasa mereka di negeri dan pusat.

“Namun ia bukan mustahil apabila rakyat mula sepakat tewaskan calon PPBM di Semenyih adalah kemenangan untuk kita semua dan ia permulaan kepada perubahan sebenar,” katanya yang juga Setiausaha Agung UMNO.

“Mereka juga telah ikat kaki dan tangan BN dengan pembekuan akaun milik UMNO menjadikan UMNO lumpuh tanpa dana hampir setahun.

“Namun, alhamdulillah setakat ini UMNO dan BN bukan sahaja tidak mati malah makin didokongi rakyat,” ujar beliau.

Menurut beliau, kekalahan PH di Cameron Highlands dengan majoriti yang besar adalah satu titik permulaan yang bakal menghantui PH khususnya PPBM.

“Kini bukan sahaja UMNO dan BN sedang reinvent  malah gagasan pembangkang dalam bentu lebih baharu dan segar sedang dijelmakan melibatkan pelbagai parti politik terutama Pas dan NGO lain mewakili suara rakyat dengan berani.

“UMNO juga terus dimurnikan dengan pertukaran kepimpinan secara teratur menerap budaya organisasi unggul hasil sikap tidak malu untuk berubah dan merakyat.

“Umpama Tagline “Malu apa Bossku’ yang kini menjadi buah mulut dengan sokongan rakyat yang datang dari segenap penjuru,” ujarnya lagi.

Annuar juga menegaskan, gagasan pembangkang perlu bersedia membuat persiapan membela rakyat dan membawa suara rakyat.

Menurutnya, pembangkang lebih berupaya untuk membawa Tawaran baharu dan harapan baharu Malaysia setelah memperbaiki diri.

Kata beliau Semenyih adalah PRK yang bakal membawa mesej besar iaitu satu referendum rakyat terhadap prestasi kerajaan khususnya PPBM.

“Semenyih juga adalah peluang membuktikan rakyat sudah kecewa dan kini parti mana yang mendapat sokongan umat Melayu dan Islam, UMNO Pas atau PPBM/DAP.

“Ia juga merupakan referendum untuk melihat sejauh mana DAP yan gagal dibantu PPBM di PRK di Cameron mahu membantu PPBM di Semenyih.

“Ia boleh juga dijadikan referandum oleh PKR yang sebelum ini secara jelas ditikam dari belakang oleh PPBM.

“Susutnya majoriti PPBM atau apa lahgi kalau tewaskan mereka di tangan UMNO/BN yang diikat kaki dan tangan, boleh menjadi pukulan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” tegas beliau.

Justeru katanya kekalahan PPBM penting bagi semua khususnya bagi rakyat selainn BN, Pas, gagasan pembangkang serta PKR dan DAP.

“Jom..jangan lepaskan peluang keemasan ini Pilihan Raya Kecil dengan mesej yang besar di Semenyih,” tegas beliau. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: