Khamis, 21 Februari 2019

PRK Semenyih: Pemuda UMNO tuduh PH beri rasuah politik

sitifatimah 

Dua keping gambar ditularkan dalam Facebook Asyraf Wajdi

BANGI – Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih yang bakal berlangsung 2 Mac ini, semakin panas, apabila Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menuduh Pakatan Harapan (PH) melakukan rasuah politik untuk memancing undi.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mendedahkan dua keping gambar yang katanya diambil ketika menziarahi rumah seorang penduduk di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Jai, Semenyih, petang ini.

“Nampaknya Pakatan Harapan (PH) begitu angkuh dan masih tidak belajar daripada PRK Cameron Highlands.

“Petang ini ketika saya dan rombongan Pemuda UMNO melakukan ziarah rumah ke rumah pengundi di PDM Sungai Jai, Semenyih, kami terlihat hamper dan surat tawaran baik pulih rumah dibawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diagih-agihkan kepada pengundi di sini.

“Ini jelas kesalahan pilihan raya dan suatu rasuah politik yang cuba memancing undi pengundi di PRK DUN Semenyih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Sehubungan itu, katanya, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap PH, sebagaimana dilakukan terhadap calon Barisan Nasional (BN) di Cameron Highlands.

“Jangan amal pilih kasih kerana kemenangan BN pernah dibatalkan di Cameron Highlands lantaran didakwa terbabit dengan rasuah politik.

“Rakyat sedang memerhatikan sejauh mana ketelusan dan keadilan SPR yang kini Ahli Suruhanjaya yang baru dilantik terdiri daripada aktivis dan pendukung BERSIH,” katanya.

PRK Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14, terbatal dan tidak sah, apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Kerusi DUN Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar, 57, menewaskan tiga calon lain – Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM), dengan majoriti 8,964 undi. Bakhtiar memperoleh 23,428 undi.

Pertembungan 2 Mac ini menyaksikan PH berdepan saingan empat penjuru membabitkan, Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali mewakili PH, dan calon BN, Zakaria Hanafi, 58, yang juga Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi.

Dua calon lagi ialah Anggota Jawatankuasa Pemuda Pusat Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul; dan calon Bebas ialah Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.


Tiada ulasan: