Sabtu, 2 Februari 2019

Perjuangan 2 Mac di Semenyih

 
   

ULASAN | Dengan kira-kira 68 peratus pengundi Melayu di Semenyih, pilihan raya kecil (PRK) pada 2 Mac ini akan dimanfaatkan oleh Umno dan PAS sebagai kunci untuk mereka kembali berkuasa melalui PRU ke-15 pada 2023 - ataupun lebih awal.

PH yang tersungkur dalam PRK Cameron Highlands baru-baru ini wajar bermuhasabah dan kembali bangkit dengan penuh kewaspadaan untuk PRK Semenyih ini.

Sebagai mukadimah, PH kini merupakan kerajaan persekutuan. Meskipun BN dan Umno - dan PAS - menyebabkan Putrajaya berada dalam keadaan kontang tanpa sebarang modal pentadbiran, mereka secara berterusan menyalahkan PH dengan dakwaan gagal melunaskan janji manifestonya.

Ini merupakan tuduhan yang tidak berasas. Mengapa? Kerana bukankah PH telah menggerakkan segala usaha untuk menangkap dan membanteras sekalian penyamun yang merosakkan negara ini dan sebahagiannya bakal berdepan dengan pertuduhan jenayah dalam masa terdekat?

Usaha itu sahaja merupakan antara pencapaian PH dan Malaysia Baru. Tanpa perubahan demokratik berlaku pada 9 Mei 2018 tidak mungkin kerajaan baru dapat meneliti hutang negara yang sedang bertimbun.

Hutang negara berjumlah AS$250.6 bilion (RM1,025 bilion) dan sedang meningkat naik. Ia merupakan hampir 80 peratus daripada keluaran negara kasar.

Dengan ketidakpastian mengenai jumlah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sedang mereput hasil daripada lembaran imbangan yang semakin teruk, bagaimanakah Malaysia lama boleh jadi lebih baik melainkan ia diletakkan di bawah PH?

Tak boleh biar terlepas

Ada tiga sebab mengapa Melayu dan Islam tidak pernah diabaikan.

Pertama, bukankah BN dan Umno - dengan sokongan daripada PAS - yang menyebabkan Malaysia terjerut dengan Goldman Sachs?

Goldman Sachs pula - yang dipengaruhi oleh pelobi-pelobi Israel di AS - berusaha untuk mencuci tangannya daripada membayar sebarang pampasan kepada Malaysia sebaliknya sekadar “memohon maaf.”

Umno dan PAS tidak boleh dibiarkan terlepas daripada kesalahan terkait dengan Goldman Sach dan/atau Israel. Mereka bekerjasama dengan individu seperti Jho Low.

Begitu juga dengan Hollywood - satu lagi entiti yang begitu dipengaruhi oleh kepentingan Israel - yang mencuci segala salah laku dalam 1MDB dan 1MDB-1MDB mini lain.

Adakah ini yang diajarkan dalam Islam? Tentu saja tidak. Islam memerintahkan agar ditegakkan kebenaran dan keadilan. Namun Umno dan PAS sering memesongkan mesej asasi dalam Islam ini.
Kedua, bukan sahaja tidak sesekali akan mengabaikan ajaran Islam, sebaliknya PH sedang berusaha untuk memastikan segala hal ehwal ekonomi dan suasana politik diuruskan secara bersih dan dengan itu membenarkan nilai-nilai murni dalam Islam diterapkan.

Hanya apabila nilai kesejagatan Islam dibenarkan untuk memainkan peranan utamanya, Malaysia akan menjadi satu daripada negara terbaik di dunia.

Ambil contoh krisis ekonomi yang melanda Turki di antara September hingga akhir tahun lalu.

Turki ampuh mendepani cabaran dan rintangan krisis kewangan kerana presidennya, Recep Tayyip Erdogan, tetap berdiri teguh menghadapi situasi yang mencabar itu.

Masa memberitahu Umno

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mungkin tidak mampu menghasilkan keajaiban ekonomi untuk menyelamatkan Malaysia dalam sekelip mata, namun hakikatnya tiada seorang pun yang mampu saat hubungan dagangan China-AS ketika ini sedang dirundung malapetaka.

Dalam keadaan ini, kunci utamanya ialah mengekalkan kestabilan.

Ketiga, pada saat PH sedang menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam perangkap hutang, PAS dan Umno - hatta MCA juga - menzahirkan hasrat mereka agar kerajaan meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang akan menelan kos lebih RM100 bilion lagi.
Adakah tindakan sedemikian diterima akal?

Oleh itu, PRK Semenyih mesti dilihat sebagaimana ia sewajarnya dilihat, iaitu: sebagai satu hari untuk para pengundi - yang rata-rata berbangsa Melayu - memberitahu kepada Umno dan PAS bahawa permainan politik mereka sudah berakhir.

Pengundi Melayu tidak akan termakan dengan umpan berupa hadiah serta retorik agama serta perkauman seperti yang Umno dan PAS laungkan.

Mari bersama-sama menghantar isyarat yang jelas bahawa Semenyih bukanlah pro-PH, tetapi pro-Malaysia Baru meskipun pakatan yang memerintahnya tidak bersifat sempurna.

Namun pakatan yang bersih tetap jauh lebih baik berbanding pakatan yang berterusan melontarkan berbagai tuduhan dan menggunakan taktik jahat untuk kembali berkuasa, tanpa mempunyai apa-apa untuk ditawarkan.


DR RAIS HUSSIN ialah pengerusi Biro Dasar dan Strategi Bersatu.


Tiada ulasan: