Sabtu, 2 Februari 2019

‘Pukulan maut’ buat Bersatu jika BN menang di Semenyih - Annuar

MALAYSIAKINI

   

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menerima satu ‘pukulan maut’ sekiranya BN berjaya merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PKR) yang akan diadakan nanti, kata Annuar Musa.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Umno itu berkata, menjadi suatu "misi yang mustahil" untuk pembangkang mencipta kemenangan di kerusi berkenaan.

"Susutnya majoriti Bersatu atau apa lagi kalau tewasnya mereka di tangan Umno/BN yang diikat kaki dan tangan, boleh menjadi ‘pukulan maut’ buat Bersatu. Ia mungkin menjadi katalis (pemangkin) perpindahan kuasa dan kepimpinan kepada Anwar Ibrahim atau Azmin Ali.

"Justeru tewasnya Bersatu adalah penting bagi semua… bagi rakyat, bagi Umno/ BN, bagi PAS dan gagasan pembangkang, malah bagi PKR dan bagi DAP juga.

"Namun, bukan mudah untuk menewaskan penyandang dan sebuah parti kerajaan yang menang dengan majoriti yang sebegitu besar," kata Annuar dalam satu hantaran di Facebooknya.

Bagaimanapun kata Annuar, tidak mustahil untuk pembangkang mencipta kejutan di Semenyih apabila rakyat mula sepakat.

Bukan laluan mudah PH

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad yakin Bersatu mampu mempertahankan kerusi DUN Semenyih yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Kata Mahathir kemenangan Bersatu pada PRU ke-14 lalu sebenarnya bukan 8,000 undi, tetapi 1,000 undi saja dan ia bukanlah laluan mudah buat mereka.

PRK Semenyih diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia tiga minggu lalu.

Allahyarham merampas kerusi itu daripada BN dalam pertembungan empat penjuru pada pilihan raya 9 Mei lalu.

Selain PH dan BN, S Arutchelvan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga dijangka sekali lagi bertanding untuk kerusi tersebut.

Hari penamaan calon bagi PRK Semenyih dijadualkan pada 16 Februari ini.

Pada PRU14, calon PH, Bakhtiar Mohd Nor memenangi kerusi DUN Semenyih dengan mendapat 23,428 undi berbanding pencabar terdekat dari BN, Johan Abdul Aziz yang juga penyandang dengan 14,464 undi.

Calon PAS pula memperoleh 6,966 undi. Dalam keadaan itu Bakhtiar memenangi kerusi DUN Semenyih dengan kelebihan 8,964 undi.

Bagaimanapun dengan andaian semua pengundi BN dan PAS memberi sokongan sama kepada calon pembangkang pada PRK akan datang, ia menjadi 21,430 undi.

Keadaan itu meletakkan PH hanya memiliki kelebihan 1,998 undi.

'Malu apa bossku' jdi buah mulut

Sementara itu Annuar berkata, meski pun diikat "kaki dan tangan", namun Umno dan BN tidak mati malah makin didokong rakyat.

Ini terbukti melalui kemenangan yang diraih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands baru-baru ini.

Annuar juga berkata, gagasan pembangkang dalam bentuk lebih baru dan lebih segar sedang dijelmakan membabitkan pelbagai parti politik terutamanya Umno, PAS serta parti lain dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

"Dalam pada itu Umno terus dimurnikan dengan pertukaran pimpinan secara teratur, menerap budaya dan corak organisasi yang lebih unggu hasil sikap tidak malu untuk berubah dan merakyat.

"Umpama tagline 'malu apa bossku' yang kini menjadi buah mulut dan dengan dokongan rakyat datang dari segenap penjuru.

"Semua tahu Pakatan Harapan (PH) telah gagal.Mereka sendiri sudah mengakuinya. Mereka sendiri yang menuduh dan mengesahkan sesama mereka. Mereka yang membuktikan kleptokrasi sudah berganti dengan ‘kakistocracy’...yang merana kini adalah rakyat," katanya.

Tiada ulasan: