Ahad, 3 Februari 2019

MUJAHID : UMAT ISLAM ADA HAD SABAR

Wartawan Watan-Online
 



“…Jangan ingat amaran beliau digeruni oleh umat Islam,” ujar ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim ketika menolak amaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa mengenai isu lantikan lembaga amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Ahmad Amzad berkata umat Islam di negara ini mempunyai hak untuk mempertahankan agamanya sekiranya terus digugat.

Justeru beliau mengingatkan Mujahid untuk tidak terus mencabar kesabaran umat Islam.

“Beliau dilaporkan memberi amaran jangan mempertikaikan pelantikan wakil DAP sebagai ahli lembaga pengarah Yadim.

“Ingat, 63 peratus rakyat Malaysia adalah umat Islam yang ada had kesabarannya dan tidak teragak-agak mempertahankan Islam jika terus diganggu.

“Ingat, amaran Allah SWT mengatasi amaran beliau (Mujahid),” katanya melalui kenyataan media pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata PAS memberi amaran supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berterusan memberi laluan kepada DAP untuk mencampuri urusan Islam.

Beliau mendakwa DAP merupakan sebuah parti yang konsisten menentang usaha menegakkan Islam di negara ini baik dari segi perundangan atau pemerkasaan dasar Islam.

“Pada sidang parlimen yang lalu ahli Parlimen dari DAP mendesak kerajaan memberi kebebasan kepada penganut Syiah menjalankan aktiviti mereka.

“Seorang lagi ahli Parlimen DAP yang kanan dan memegang jawatan menteri dilaporkan dalam satu prosiding mahkamah sebagai tidak bersetuju kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti terkandung dalam Perlembagaan Malaysia.

“DAP berterusan cuba menghalang usaha memperkasakan institusi Mahkamah Syariah dengan pelbagai alasan,” katanya.


Tiada ulasan: