Khamis, 14 Februari 2019

Mujahid: Amanah ditubuhkan kerana tak tahan dengan prinsip PAS


   

Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan kerana sekumpulan pemimpin dalam PAS tidak tahan dengan prinsip yang diamalkan PAS ketika itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof.

Mujahid berkata demikian sebagai mengulas isu tindakan Anggota Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Aziz yang berbohong ketika menafikan rakaman audio yang didakwa mengandungi pengakuan penerimaan dana daripada Umno.

“Kami semasa berada di dalam PAS diajar untuk berpegang kepada prinsip walau apa pun keadaan dan salah satu sebab kenapa kami keluar untuk tubuhkan Amanah.

“Itulah kami tidak mahu berpura-pura maka prinsip itu mengatasi segalanya, itu sahajalah saya boleh komen,” katanya kepada pemberita selepas sidang media berkaitan subsidi haji di bagunan Tabung Haji di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Nik Abduh mempertahankan tindakannya menafikan rakaman audio yang mengandungi suaranya dengan alasan ingin menjaga kerahsiaan parti.

Beliau turut berkata, tindakan serupa juga pernah diamalkan oleh ayahnya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika memimpin PAS.

Sementara itu, Mujahid yang juga merupakan anggota parlimen Parit Buntar itu berkata, bagi membuktikan sesuatu kebenaran, seseorang itu tidak seharusnya melakukan pembohongan.

“Nak buktikan kebenaran, mana boleh macam itu. Macam saya kata kita melalui proses, sekali perkara itu adalah prinsip, kita tak boleh berlaku penipuan tak ada silhouette.

“Penipuan tu penipuanlah apatah lagi penipuan itu melibatkan soal kepentingan yang lebih besar. Sunat tak sunat kita tak tahu,” katanya.


Tiada ulasan: