Memaparkan catatan dengan label POLITIK - ANAMAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label POLITIK - ANAMAH. Papar semua catatan

Sabtu, 25 Julai 2020

RUU355: Amanah lagi baik berbanding Pas

RUU355

PARTI Amanah disifatkan oleh Timbalan Ketua Pemudanya, Muhammad Fahmi Fadzil Noor sebagai lebih baik sebagai kerajaan berbanding Pas berhubung penggubalan dasar dan undang-undang.

Pernyataan itu dibuat susulan parti itu dilihat berjaya membawa Akta Profesyen Guaman Syarie sehingga diluluskan.

Berbanding Pas, beliau menganggap parti itu masih gagal dalam merealisasikan pewartaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355.

Menurutnya RUU tersebut kuat diperjuangkan Pas sebelum memasuki Putrajaya termasuklah mengadakan perhimpunan bersama penyokongnya.

Malah, Pas sebelum ini juga dilihat mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) supaya membentangkannya di dalam Parlimen.

BACA > Buruh warga Indonesia maut dipanah petir ketika mengait buah kelapa sawit – Suara Merdeka

“Tetapi setelah enam bulan menjadi kerajaan, tiada apa-apa usaha kerajaan PN ke arah itu.

“Sedangkan kerajaan PH melalui Menteri Amanah telah berjaya meluluskan Akta Profesion Guaman Syarie.”

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu yang turut menyindir Pas sebagai sudah senada dengan MCA.

Beliau berkata demikian apabila MCA begitu kuat menentang pembentangan RUU355 dan pernah mengadakan protes membantah hukum hudud.

“MCA pernah mengadakan protes membantah hukum hudud, tetapi kini nada PAS berubah setelah bersama dalam kerajaan PN.

“Bukankah sebagai kerajaan, Pas lebih mudah membentangkan pindaan Akta 355 kerana sudah pasti disokong semua Ahli Parlimen PN (Perikatan Nasional) termasuk MCA dan GPS Sarawak.

BACA > Saman cabar pelantikan: Azalina serah kepada mahkamah – Suara Merdeka

“Ketika mana hujah ini dibangkitkan dahulu, pakar undang-undang dilabel menentang RUU355.

“Sehinggakan seorang ulama PAS bersikap takfiri mendakwa sesiapa yang menentang RUU355 akan ditanam di jirat Cina,” jelasnya

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary dalam Dewan Rakyat menyatakan pembentangan kali kedua RUU355 tidak dapat dilakukan.

Menurutnya, undang-undang tersebut perlu diteliti semula bagi memastikannya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau menambah, RUU355 menjadi punca kepada perpecahan kepada Pas dan Pakatan Rakyat.

Hal demikian Pas dilihat tidak serius dalam membawa undang-undang penguatkuasaan jenayah syariah itu.

“…kononnya PAS serius mahu membentangkan pindaan kepada Akta 355 ini bagi meningkatkan hukuman jenayah syariah.

BACA > Shafie dakwa ada cubaan beli, ganggu ADUN Sabah – Suara Merdeka

“Pemimpin PAS menganggap RUU355 ini yang dilihat bertujuan pelaksanaan hukum hudud sebagai nyawa Pas.

“Janji pilihanraya juga untuk melaksanakan hukum hudud.

“Tanpa pindaan Akta 355, hukum hudud masih tidak boleh dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu,” ujarnya.

Oleh demikian, Faiz dilihat kecewa dengan Pas dan mempersoalkan dimana integriti dan kejujuran parti itu terutama dalam memperjuangkan Islam.

“Di mana hilangnya integriti dan kejujuran Pas memperjuangkan Islam?

“Amanah difitnah menjadi kuda DAP, adakah kerana MCA sudah bersama dalam kerajaan, Pas pula sanggup dianggap khadam MCA?” soalnya.

Pada April 2017, RUU355 kali pertama dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha, Datuk Takiyuddin Hassan.

BACA > PRK Slim River: PKR, PH masih berteka-teki – Suara Merdeka

RUU tersebut dibentang sebagai usul persendirian di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. – SM

Sabtu, 20 Jun 2020

Mat Sabu: Amanah pertahan PH dan akan bersama Dr M, Warisan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menegaskan Pakatan Harapan (PH) akan  bersama Pengerusi Bersatu yang dipertikai, Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan untuk mengembalikan semula mandat rakyat dan menerajui semula kerajaan persekutuan.

Menurutnya, parti itu juga akan terus kekal bersama dalam gabungan PH.

"Mesyuarat jawatankuasa pimpinan Amanah pagi ini menegaskan iltizam dan komitmen Amanah untuk mempertahankan kesatuan PH sebagai satu-satunya wadah dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan melaksanakan perubahan dalam negara.

"Amanah menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab PH bersama gabungan Tun Mahathir Mohamad dan pasukannya serta Warisan untuk terus berusaha mengambil balik mandat rakyat dan hak rakyat yang telah diberikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Mohamad itu dikeluarkan sehari selepas PKR menolak pencalonan Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dari gabungan PH Plus.

Dalam mesyuarat bulanan majlis pimpinan pusat PKR semalam, parti itu menyokong presidennya Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri bagi gabungan berkenaan.

PKR juga menyatakan kesediaan untuk berunding berhubung keputusan DAP dan Amanah sebelum ini yang memberitahu mereka menyokong gandingan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya.

Namun, dalam kenyataan bersama oleh Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mendedahkan pilihan pertama mereka untuk mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri tidak berjaya mendapat sokongan diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Justeru, ia menyebabkan pilihan kedua, iaitu Dr Mahahir Mohamad sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya, dikemukakan.

Pimpinan DAP dan Amanah berkata pilihan pertama tersebut hanya mampu mendapat sokongan maksimum 96 anggota parlimen. 

Selain itu, Warisan turut menolak cadangan Anwar sebagai perdana menteri.

Khalid dan Loke juga mendedahkan usaha terakhir Anwar untuk mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak berjaya.

Sementara itu, Mohamad yang lebih mesra dipanggil sebagai Mat Sabu menggesa semua parti komponen PH bersiap sedia menghadapi pilihan raya mengejut sekiranya diadakan.

"Dengan menjangkakan kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut dalam tempoh terdekat, Amanah menggesa semua parti komponen PH untuk mempersiapkan jentera pilihan raya masing-masing dalam kadar segera," kata Anggota Parlimen Kota Raja itu.

Selasa, 10 Mac 2020

Hasnol dipecat keahlian Amanah

Manzaidi Mohd Amin
hasnol
Hasnol Zulkarnain

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) memutuskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnol Zulkarnain bukan lagi ahli parti itu.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, keputusan itu ditetapkan pucuk pimpinan parti dalam mesyuarat tergempar petang semalam.

“Kita mengambil maklum mengenai tindakan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Hasnol Zulkarnain yang telah bertindak mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN bebas di Perak.

“Tindakan Hasnol ini amat dikesali dan pucuk pimpinan Amanah melalui mesyuarat tergemparnya petang semalam ingin memaklumkan dengan ini bahawa beliau bukan lagi ahli parti.

“Namun begitu, ditegaskan tindakan beliau ini tidak akan memberi apa-apa kesan kepada Amanah dari segi kekuatan dan maruah. Kami akan terus berdiri teguh bersama Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan kepada media.

Hasnol bersama dua lagi ADUN Perak dari PH mengumumkan keluar parti dan menjadi bebas susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu, semalam.

Dua lagi ADUN DAP yang ikut serta menyertai bebas ialah ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – MalaysiaGazette

Rabu, 26 Februari 2020

Pemuda Amanah: Azmin perlu disiasat

N FAIZAL GHAZALI

 


'Langkah Sheraton' yang didakwa didalangan oleh bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali perlu diambil tindakan undang-undang kerana melanggar prinsip perlembagaan dan undang-undang negara, kata Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni.

Menurutnya, tindakan sekumpulan ahli parlimen yang didalangi Azmin itu melanggar prinsip demokrasi berparlimen dengan cubaan meruntuhkan sebuah kerajaan yang sah.

"Saya percaya di sebalik 'langkah Sheraton' didalangi Azmin dan kumpulannya seperti mana disebut oleh pimpinan PH, seperti mana kita tahu ia satu langkah untuk meruntuhkan kerajaan PH yang sah, yang melalui proses demokrasi melalui pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

"Langkah mereka ini adalah satu langkah yang dibuat tanpa berasaskan undang-undang, ia boleh boleh disiasat mengikut Seksyen 124 (b) dan Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan (penal kod).

"Ini kerana tidak ada asas undang-undang untuk mereka melakukan perkara itu. Kerana pertukaran kerajaan itu hanya boleh dilakukan dengan kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh perlembagaan.

"Antaranya seperti melalui pilihan raya, undi tidak percaya di parlimen atau perdana menteri memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya parlimen dibubarkan. Tetapi apa yang dilakukan olrh Azmin itu tidak ada satu pun asas yang bertepatan dengan undang-undang," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan satu perjumpaan oleh sekumpulan ahli parlimen diadakan di Hotel Sheraton di Petaling Jaya pada Ahad lalu, yang didakwa sebagai satu komplot untuk mewujudkan kerajaan melalui 'pintu belakang' bersama parti-parti tertentu.

Ia disusuli dengan pemecatan keahlian PKR melibatkan 11 anggota parlimen parti itu termasuk Azmin dan bekas naib presiden, Zuradai Kamaruddin.

Sementara itu Mohd Fitri berkata, langkah yang dilakukan kumpulan Azmin dengan mengumpul sokongan untuk meruntuhkan kerajaan yang sah melalui pintu belakang itu melanggar undang-undang yang ditetapkan.

"Melalui peruntukan undang-undang yang ada, Azmin boleh dituduh di mahkamah sama ada secara individu atau berkumpulan. Ia bergantung kepada proses siasatan.

"Justeru saya percaya satu siasatan perlu dibuat terhadap mereka dan laporan polis perlu dibuat.

"Perkara ini perlu diambil tindakan serius supaya menjadi pengajaran kepada ahli-ahli politik lain supaya tidak berulang di masa akan datang," jelasnya yang juga seorang peguam.


Isnin, 24 Februari 2020

Amanah berpegang teguh kepada muafakat Majlis Presiden PH - Dr Dzulkefly

Bernama
Amanah berpegang teguh kepada muafakat Majlis Presiden PH - Dr Dzulkefly
DR DZULKEFLY: Kita masih kerajaan dan apapun, kita wajar nantikan titah dan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita masih lagi menjalankan tugas-tugas, tidak ada apa perubahan. - Gambar fail
 

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) masih berpegang kepada pemuafakatan yang telah dibuat bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kata Pengarah Strategi Amanah Datuk Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau, yang juga Menteri Kesihatan, berkata adalah wajar untuk menantikan titah dan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk sebarang keputusan mengenai desas-desus pembentukan kuasa politik baharu negara.

Beliau turut difahamkan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Al-Sultan Abdullah hari ini namun tidak memperincikan tentang pertemuan itu.

"Kita masih kerajaan dan apapun (sebarang keputusan) kita wajar nantikan titah dan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita masih lagi menjalankan tugas-tugas, tidak ada apa perubahan.

"Yang pentingnya kita berpegang dan bersandarkan kepada keputusan yang dibuat bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada media selepas melancarkan Seminar dan Kempen Kesedaran Pengurusan Kelesuan Peringkat Kebangsaan Untuk Anggota Kesihatan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia yang senada dengan Dzulkefly berkata pihaknya akan menerima sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau turut menjelaskan bahawa Amanah tidak dijemput untuk menyertai pertemuan bersama Bersatu, Pas dan UMNO yang didakwa bagi membincangkan aturan baharu kuasa politik negara. -- BERNAMA

Isnin, 20 Januari 2020

Mohamad, Salahuddin kekal Presiden, Timbalan Presiden Amanah

Mohamad Sabu (kiri) bersama timbalannya, Datuk Seri Salahuddin Ayub selepas selesai mengundi pemilihan Ahli Jawatan Tertinggi Parti menggunakan sistem e-voting sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, semalam. - Foto Bernama
 
 
SHAH ALAM - Seperti dijangka, Konvensyen Parti Amanah Nasional (Amanah) 2019 sebulat suara mengekalkan Mohamad Sabu dan Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti itu bagi sesi 2019-2020.

Keputusan itu diumumkan Speaker Amanah, Onn Jaafar hasil persetujuan 27 ahli Jawatankuasa Kepimpinan Amanah Nasional baharu dilantik yang difahamkan bermesyuarat bermula jam 10.30 malam hingga 2 pagi di Hotel Pegasus, di sini.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu adalah merupakan Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Kota Raja, manakala Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai dilantik kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Terdahulu, Mohamad dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Amanah Nasional dibuat secara bermusyawarah oleh 27 ahli Jawatankuasa Kepimpinan Amanah Nasional yang dipilih melalui proses pemilihan parti.

Sementara itu, Onn turut mengumumkan pelantikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar sebagai Naib Presiden 1, manakala jawatan Naib Presiden 2 disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Bagi jawatan Naib Presiden 3 pula kekal disandang Datuk Hasanuddin Mohd Yunos.

Keputusan itu menyaksikan ketiga-tiga tokoh politik Amanah itu mengekalkan jawatan Naib Presiden disandang sebelum ini.

Semalam, seramai 822 perwakilan Amanah Nasional seluruh negara mengundi menerusi sistem e-voting bermula jam 9.45 malam dan berakhir jam 10.30 malam.

Undian itu dijalankan ke atas 94 calon yang berentap pada pemilihan Jawatankuasa Amanah Nasional untuk sesi 2019-2022 yang turut merebut jawatan speaker, timbalan speaker, juruaudit termasuk 27 jawatan ahli jawatankuasa(AJK).

Khamis, 19 Disember 2019

Amanah Pengkalan Chepa buat pemilihan kali ketiga

N FAIZAL GHAZALI




Amanah Pengkalan Chepa akan bermesyuarat tahunan dan mengadakan pemilihan sekali lagi bagi menentukan barisan kepemimpinan selepas dua mesyuarat terdahulu dibatalkan.

Menurut sumber mesyuarat tersebut akan diadakan pada 21 Dis ini di Sekolah Kebangsaan Parang Puting, Kota Bharu.

"Ia diadakan buat kali ketiga selepas dua mesyuarat terdahulu dibatalkan atas kesilapan teknikal atau pelanggaran peraturan yang ditetapkan.

"Ini sekali gus memberi peluang kepada semua calon untuk dipilih oleh perwakilan kawasan ini bagi penggal 2019 hingga 2021," kata sumber yang enggan disiarkan namanya itu kepada Malaysiakini, hari ini.

Pada 13 Nov lalu Malaysiakini melaporkan Amanah Pengkalan Chepa diarah mengadakan pemilihan sekali lagi oleh ibu pejabat parti itu.

Arahan berkenaan dibuat selepas bantahan sebahagian daripada perwakilan kawasan diterima Amanah Nasional, sekali gus menjadikan keputusan pemilihan sebelum ini terbatal.

Dalam satu notis yang dilihat Malaysiakini, Jawatankuasa Aduan Amanah Nasional yang bersidang pada 5 Nov lalu membuat keputusan, mesyuarat Amanah Pengkalan Chepa pada 27 Okt lalu tidak sah dan tidak mematuhi perlembagaan serta tatacara parti.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Kelantan, Mohd Alawi Abdul Rashid, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini mengesahkan mengenai pemilihan semula kali ketiga itu.

Katanya, ia dibuat sesuai dengan arahan daripada Amanah Nasional.

"Kawasan tersebut perlu mengadakan semula mesyuarat dan pemilihan. Sekiranya gagal Amanah Pengkalan Chepa boleh terbubar," katanya.

Bagaimanapub Mohd Alawi menegaskan apa yang berlaku itu adalah proses biasa.

"Kita perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan," katanya.


Ahad, 8 Disember 2019

Amanah akui sukar tembusi gabungan BN-Pas

Hasimi Muhamad dan Irwan Muhammad Zain, Astro Awani
Amanah akui sukar tembusi gabungan BN-Pas
Mohamad Sabu berkata walau bagaimanapun pihaknya tidak gentar untuk merobohkan pengaruh yang dimiliki gabungan parti itu khususnya di Pantai Timur. - Foto Astro AWANI


SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui berdepan kesukaran untuk “menembusi” kubu yang dibina oleh parti Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Menurut Presidennya, walau bagaimanapun pihaknya tidak gentar untuk merobohkan pengaruh yang dimiliki gabungan parti itu khususnya di Pantai Timur.

Jelasnya, konsep Rahmatul Lil Alamin yang didokong oleh Amanah mampu menarik minat ahli parti tersebut.

“Sukar untuk tembusi pengaruh mereka dan bukan semua (ahli BN dan Pas) boleh menerima kerjasama tersebut.

“Jadi, di tengah pening lalat ini, kita harus menerangkan konsep Rahmatul Lil Alamin.

“Saya tahu negeri yang berpotensi antaranya Kelantan kerana setiap bulan ia mencatatkan pertambahan ahli,” katanya, di sini.

Mohamad berkata demikian dalam sesi ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada Ahad.

Katanya, salah satu cabaran yang dihadapi untuk mengambil alih negeri seperti Terengganu kerana mereka mempunyai barisan kepimpinan yang hebat, selain kerajaan Negeri mempunyai peruntukan yang cukup.

“Kenapa ada banyak duit? Salah satunya kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menunaikan janji manifesto.

“Kita janji bayar royalti, kita bayar walaupun negeri itu milik pembangkang.

“Orang kata kenapa tak sekat (royalti), biar mereka tunduk. Kita janji, maka kita tunai,” katanya.

Justeru, Mohamad berkata Amanah komited mahu melebarkan sayap dan menubuhkan lebih banyak cawangan di negeri-negeri berkenaan.

Konvensyen Nasional 2019 melabuhkan tirai dengan konvensyen ditangguh pada tahun hadapan.

Orang lelaki banyak 'mengeteh', perwakilan minta parti tidak pinggirkan wanita Amanah

Hasimi Muhamad dan Irwan Muhammad Zain, Astro Awani
Orang lelaki banyak 'mengeteh', perwakilan minta parti tidak pinggirkan wanita Amanah
Dr Siti Mariah Mahmud berkata wanita di akar umbi dilihat lebih bertungkus-lumus dalam mendekati rakyat berbanding perwakilan Pemuda. - Foto Astro AWANI
 

SHAH ALAM: Kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) digesa agar tidak meminggirkan usaha keras dan pengorbanan yang dilakukan perwakilan wanita terhadap pembangunan parti.

Bekas Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud berkata wanita di akar umbi dilihat lebih bertungkus-lumus dalam mendekati rakyat berbanding perwakilan Pemuda.

“Tetapi apabila datang untuk memberi penghormatan, tidak mengapa wanita boleh tunggu kemudian.

“Saya daripada yang lepas sampai sekarang, perjuangan saya adalah untuk wanita kerana kita tahu, dengan adanya wanita ini lah banyak gerak kerja parti menjadi licin.

“Orang lelaki saya minta maaf, saya sebut  kalau kempen itu banyak 'mengeteh' (sesi borak sambil minum teh).

"Tetapi yang pergi ke rumah, pintu ke pintu, adalah wanita (dan) orang lelaki (hanyalah) pengawal keselamatan,” katanya, pada Ahad.

Beliau berkata demikian dalam sesi ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.

Ujarnya, Konvensyen Amanah kali ini dilihat telah dimonopoli golongan lelaki berbanding sebelum ini.

Siti Mariah tidak menolak faktor tersebut berkemungkinan disebabkan oleh pemilihan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional.

“Patriarki (lelaki sebagai pemegang kuasa utama) yang mengenal ini Rahmatan Lil Alamin, yang kita laung-laungkan, wanita adalah sebahagian daripadanya.

“Saya nak tengok konvensyen seterusnya, tetapi tahun depan tiada pemilihan, dia (perwakilan lelaki) tak berebut sangat, dia akan berilah kepada wanita.

“Saya tahu cara orang politik berfikir. Itu lah sebabnya saya tidak bersetuju apabila kita mengatakan kita mengehadkan wakil kepada sayap (wanita) berkurang daripada 20,” katanya.

Tegasnya, sekiranya trend ini terus berulang, beliau tidak teragak-agak untuk mendesak Perlembagaan Parti supaya memasukkan klausa yang mewajibkan penyertaan wanita agar kumpulan itu tidak terus dipinggirkan.

Sabtu, 7 Disember 2019

Perwakilan Amanah Sarawak gesa PM pecat menteri komunikasi

Perwakilan Amanah Sarawak, Andri Zulkarnaen.

SHAH ALAM: Seorang perwakilan Amanah Sarawak secara terbuka mendesak kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad menggugurkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Andri Zulkarnaen berkata, Gobind tidak menunjukkan prestasi baik dalam mengemudi kementerian itu dan gagal mempromosi kejayaan kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita mesti merombak kepimpinan kerajaan sedia ada dengan menukar menteri-menteri yang tidak ‘perform’…Saya tak sebut menteri Amanah, menteri yang tak perfom itu kena tukarlah, tak kira parti mana.

“(Gobind) juga gagal mempertahankan kerajaan PH daripada serangan musuh, begitu juga sebahagian menteri yang tidak ‘perform’ yang tak perlu saya senaraikan di sini,” katanya ketika membahas ucapan presiden di Konvensyen Nasional Amanah hari ini.
Beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi kerajaan PH selepas 19 bulan mentadbir negara.

“Harga getah masih rendah, tidak terbela, orang kampung masih susah, Bantuan Sara Hidup (BSH) dikurangkan, bantuan-bantuan yang diberikan Barisan Nasional dahulu ada yang dikurangkan dan ada yang dihentikan terus.

“Selepas 19 bulan PH memerintah, PH terus dituduh penipu, mungkir janji, kencing rakyat, serangan bertali arus dalam bentuk fitnah, penipuan dan tohmahan yang akhirnya rakyat terkeliru dan tertipu.

“Kampung saya, Sabah dan Sarawak terus miskin dan ketinggalan dalam pembangunan…ekonomi negara tidak menentu, nilai ringgit belum kukuh dan tidak banyak berubah.”

Andri turut menyifatkan media massa “lembik” dan “lesu” kerana gagal mempertahankan kerajaan, serta mendakwa projek kerajaan masih diberikan kepada kontraktor Umno.

“PH menang, BN senang, kontraktor-kontraktor Umno masih membolot projek, ‘figure-figure’ Umno masih dikekal dan dilantik sebagai pengerusi, CEO (ketua pegawai eksekutif), pengurus besar dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

Perwakilan Amanah cadang batal pertubuhan guna nama Islam

Perwakilan Amanah Pulau Pinang Mohd Saifullah Abd Nasir 
berkata, Umno dan PAS memainkan isu perkauman ke tahap 
yang menggugat kestabilan negara.
 
SHAH ALAM: Perwakilan Amanah dari Pulau Pinang hari ini mendakwa PAS dan Umno memainkan isu perkauman ke tahap yang kritikal dan dilihat menggugat kestabilan negara.

Sehubungan itu, Mohd Saifullah Abd Nasir mencadangkan supaya semua pertubuhan yang menggunakan nama Islam dinilai semula atau dibatalkan pendaftarannya kerana memberikan imej tidak baik kepada agama.

“Kita tahu PAS dan Umno semakin galak memainkan isu perkauman yang pada saya sangat kritikal. Kami Pulau Pinang merasakan isu ini sangat mencabar kestabikan negara.

“Jadi tidak berlebihan untuk saya mencadangkan semua pertubuhan yang menggunakan nama Islam harus disemak atau batalkan pendaftaranya kerana ia memberi imej tidak baik kepada Islam yang suci dan mulia,” katanya ketika membahaskan ucapan presiden pada Konvensyen Nasional parti itu di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC) di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau mencadangkan tindakan dikenakan terhadap kakitangan awam yang tidak bersedia untuk taat kepada kerajaan ketika ini.

“Sebagai penjawat awam, mereka seharusnya patuh dengan perintah am, namun ada sekumpulan yang ingin mencabar kerajaan.

“Tindakan ini tidak seharusnya dibiarkan. Kita harus bijak menangani mereka dan jika ada keperluan tukarkan mereka yang tidak mahu taat kepada kerajaan,” katanya

Saifullah turut mempersoalkan sikap media arus perdana yang pro kerajaan tetapi gagal memihak kepada pemerintah, termasuk tidak membuat siaran langsung konvensyen parti itu.

“Sekarang ini ruang terbuka kepada parti pembangkang. Hari ini Pakatan Harapan (PH) memerintah, tetapi siaran langsung persidangan agung Umno ditayangkan di TV3, ditayang di media-media berita utama. Di mana siaran langsung konvensyen kita hari ini?

“Saya fikir sebagai kerajaan kita harus bertindak sebagai kerajaan. Kita harus menggunakan kuasa yang ada, bukanlah menyalahguna tetapi menggunakan kuasa yang ada pada kita,” katanya.

Khalid Samad atasi Mat Sabu dalam Pemilihan Amanah 2019

Nizam Zain
MGF06122019_MOHD-SABU-PERASMIAN-KONVESYEN-AMANAH26-2
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sambil diiringi Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahudin Ayub (lima kiri) bersama Ahli Majlis Tertinggi Amanah bergambar sambil mengangkat tangan turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari (empat kanan) dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga kanan) pada majlis perasmian sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI
 

SHAH ALAM – Pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyaksikan hampir keseluruhan penyandang ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional sedia ada berjaya mengekalkan kedudukan dalam parti itu.

Proses pemilihan Amanah yang ditutup tepat jam 10.30 malam tadi menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mendahului senarai 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang terpilih malam ini dengan meraih 786 undi.

Keputusan itu juga menyaksikan jumlah undi yang diperolehi Khalid telah mengatasi jumlah undi yang diraih Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dengan 681 undi di tangga ketujuh.

Menerusi keputusan itu juga, hampir semua menteri dan timbalan menteri berjaya memenangi jawatankuasa pusat itu kecuali Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir yang tewas melalui pencalonan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berada dalam senarai kedua tertinggi dengan mendapat 780 undi, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berada di tangga ketiga, dengan 765 undi.

Pemilihan kali pertama sejak Amanah dilancarkan pada 16 September 2015 menyaksikan beberapa muka baharu berjaya memenangi jawatan tertinggi parti itu termasuk Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Faiz Fadzil.

Antara pemimpin yang tewas pada pemilihan ini ialah Naib Presiden yang juga Ahli Parlimen Tampin, Hasan Bahrom.

Seorang lagi Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa tewas selepas tidak tersenarai dalam calon yang bertanding.

Salam pemilihan Jawatankuasa Pimoina Nasional kali ini menyaksikan seramai 87 calon pencabar daripada 27 kerusi yang dipertandingkan dan seramai 822 perwakilan yang mengundi.

Sementara dua lagi kekosongan jawatan bagi jawatan naib presiden akan dipilih Presiden. – MalaysiaGazette

Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) Sesi 2019-2022:

Speaker : Yuhaizad Abdullah
Timbalan Speaker : Adnan Saad

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional
1. Khalid Abd Samad (786)
2. Mahfuz Omar (780)
3. Salahuddin Ayub (765)
4. Mujahid Yusof Rawa (755)
5. Mohd Hatta Md Ramli (725)
6. Dzulkefly Ahmad (687)
7. Mohamad Sabu (681)
8. Adly Zahari (655)
9. Siti Mariah Mahmud (612)
10. Raja Bahrin Raja Kamarulzaman (584)
11. Faiz Fadzil (582)
12. Mohammad Nizar Jamaluddin (553)
13. Mazlan Aliman (544)
14. Nik Omar Nik Abdul Aziz (543)
15. Hasanuddin Mohd Yunus (460)
16. Suhaizan Kaiat (445)
17. Zolkharnain Abidin (445)
18. Ridzwan Abu Bakar (435)
19. Asmuni Awi (428)
20. Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (368)
21. Mohamed Hanipa Maidin (360)
22. Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (359)
23. Phahrolrazi Mohd Zawawi (339)
24. Mohd Sany Hamzan (338)
25. Mariam Abdul Rashid (317)
26. Ahmad Termizi Ramli (302)
27. Muhaimin Sulam (299)

Mat Sabu kekal Presiden Amanah

Nizam Zain
MGF06122019_MOHD-SABU-PERASMIAN-KONVESYEN-AMANAH26-3
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sambil diiringi Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahudin Ayub (lima kiri) bersama Ahli Majlis Tertinggi Amanah bergambar sambil mengangkat tangan turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari (empat kanan) dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga kanan) pada majlis perasmian sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI
 

SHAH ALAM – Penyandang Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu hari ini
 berjaya mempertahankan jawatan nombor satu dalam parti itu bagi sesi 2019-2022.

Perkara itu diumumkan oleh bekas Speaker Amanah penggal lalu, Onn Jaafar pada hari kedua Konvenysen Nasional 2019 Amanah di Pusat Konvensyen Darul Ehsan (IDCC), hari ini.

Sementara itu, bagi Timbalan Presiden Amanah pula, penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pula berjaya mempertahankan jawatan itu.

Bagaimanapun bagi barisan Naib Presiden Amanah pula, berlaku kejutan apabila Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dipilih mendahului penyandang sebelum ini.

Selain Mahfuz, kedudukan jawatan Naib Presiden berjaya dipertahankan dua penyandang sebelum ini iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Semalam, keputusan pemilihan Amanah yang ditutup tepat jam 10.30 malam semalam menyaksikan hampir keseluruhan penyandang ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional sedia ada berjaya mengekalkan kedudukan dalam parti itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad melakukan kejutan apabila mendahului senarai 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang terpilih malam ini dengan meraih 786 undi.

Keputusan itu juga menyaksikan jumlah undi yang diperolehi Khalid telah mengatasi jumlah undi yang diraih Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dengan 681 undi di tangga ketujuh.

Menerusi keputusan itu juga, hampir semua menteri dan timbalan menteri berjaya memenangi jawatankuasa pusat itu melainkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir yang tewas melalui pencalonan. – MalaysiaGazette

Isnin, 25 November 2019

PAN akan terkubur – Presiden PAS

HARAKAHDAILY



KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (PAN) akan menerima nasib yang sama seperti parti-parti serpihan sebelum ini yang terkubur satu demi satu, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, perkara tersebut dapat dilihat serta dibuktikan dengan peralihan Presiden PAS yang bersilih ganti hingga mencapai bilangan sembilan orang yang pernah memimpin parti itu.

Katanya, walaupun pelbagai cubaan dilakukan untuk memecahkan belahkan parti itu, PAS tetap teguh meneruskan perjuangannya hingga ke hari ini.

“PAS pernah hilang dah beberapa presiden, sembilan presiden (kesemuanya). Ada presiden yang meninggal dunia, presiden yang meninggalkan parti, PAS (masih) terus konsisten dalam perjuangan dia.

“Bahkan ada yang cuba-cuba nak pecahkan PAS, PAS terus teguh, yang pecah itu mati satu demi satu, dulu parti Hamim (Parti Hizbul Muslim Malaysia), parti Islah, parti Imam, parti Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia), (dan) Amanah akan terima nasib yang sama, (manakala) PAS akan terus (teguh),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang mengatakan bahawa PAS tiada hala tuju yang jelas jika Abdul Hadi tidak lagi memimpin parti itu.

Tambah Ahli Parlimen Marang itu, kenyataan Khalid hanyalah satu kenyataan yang menggambarkan perasaannya sahaja, ujar Abdul Hadi ketika ditemui di Majlis Hi Tea dan Dialog Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pelbagai Kaum dan Agama di Hotel Putra di sini hari ini.

Terdahulu, Khalid pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan Kali Ke-4 2019 di Kota Bharu, Kelantan, dilaporkan berkata, PAS tidak mempunyai mesej yang jelas kepada ahlinya selepas mengadakan muafakat bersama Umno dan hanya dianggotai ahli yang benar-benar taat kepada parti itu sahaja. – HARAKAHDAILY

Ahad, 24 November 2019

Tidak berbangkit soal mahu menyingkir sesiapa dalam Amanah – Salahuddin

THE MALAYSIAN TIMES



TASEK GELUGOR: Tidak ada sebarang isu berbangkit atau wujud usaha mahu menyingkirkan mana-mana pemimpin semasa sesi pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) yang sedang berlangsung ketika ini, kata Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata pada masa ini, sesi pemilihan di beberapa buah negeri untuk memilih calon yang layak memimpin dijalankan dengan begitu baik dan harmoni.

“Saya tidak mendengar itu (penyingkiran) sebagai satu isu kerana kita dalam pemilihan ini, kita dapat menjalankan dengan begitu baik dan harmoni , sekarang ini kita sudah sampai ke peringkat negeri .

Esok (hari ini) di Perak dan Pulau Pinang. Sebelum ini di Johor, Kedah dah selesai , Kelantan
,Terengganu juga sudah selesai dan semuanya berlangsung dalam keadaan yang harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung terdapat ura-ura dakwaan atau usaha mahu menyingkirkan pemimpin tertinggi dalam parti Amanah.

Salahuddin ditemui pemberita selepas majlis makan malam dan penyampaian sumbangan ‘Santuni Rakyat Kongsi Bersama’ kepada 150 fakir miskin kawasan Tasek Gelugor di sini malam tadi, satu program turun padang dan menyantuni individu yang memerlukan, anjuran parti Amanah kawasan Tasek Gelugor.

“Melalui program ini, kita dapat mengeratkan lagi hubungan antara kepimpinan dan rakyat dan saya rasakan begitu penting kerana menjadi harapan supaya apabila pimpinan Amanah ini telah berada sebahagiannya dalam kerajaan, kita tidak lupa untuk mendekatkan diri kita kepada rakyat,” katanya. —Bernama 

Asmuni kekal pengerusi Amanah Perak

 
 
Adun Manjoi Asmuni Awi kekal sebagai pengerusi Amanah Perak bagi penggal 2019 hingga 2022 dalam pemilihan pada Konvensyen Amanah Perak yang berlangsung di Ipoh semalam.

Adun Sungai Rapat Mohammad Nizar Jamaluddin juga kekal sebagai timbalan pengerusi parti berkenaan.

Keputusan pemilihan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Nasional Dr Zulqarnain Lukman.

Selain itu, bagi jawatan naib pengerusi Amanah 1 dan Naib Pengerusi Amanah 2 masing-masing kekal disandang oleh Dr Muhaimin Sulam dan Dr Fakhruldin Mohd Hashim.

Pemilihan kali ini juga turut menampilkan empat muka baru yang tersenarai dalam jawatankuasa pimpinan Amanah Perak iaitu Ketua Kawasan Larut, Mohd Nazri Din; Timbalan Ketua Kawasan Larut, Razali Ismail; Ketua Kawasan Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli dan Ahli Jawatankuasa Kawasan Ipoh Timor, Halilah Hamidun.

Seramai 186 perwakilan daripada 22 kawasan Amanah hadir ke konvensyen berkenaan di mana proses pengundian bermula kira-kira pukul tiga petang dan berakhir lewat tengah malam tadi.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Seramai 45 orang calon bertanding bagi mengisi 17 jawatan yang dipertandingkan dalam jawatankuasa kepimpinan Amanah Perak.

Proses pemilihan bagi 17 jawatan berkenaan antaranya pengerusi, timbalan pengerusi, bendahari, ketua wanita dan ketua pemuda berjalan dengan lancar dan aman.-Bernama


Sabtu, 23 November 2019

Amanah serah kepada PM untuk tentukan rombakan Kabinet

Bernama
MGF01102019_MOHAMAD-SABU-HADIR-MAJLIS-SEKALUNG-BUDI-MEDIA-06-1
Mohamad Sabu

GEORGE TOWN – Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyerahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan kemungkinan melakukan rombakan Kabinet Pakatan Harapan (PH).

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, rombakan Kabinet merupakan hak Perdana Menteri untuk menentukan.

“Dia (PM) boleh bila-bila masa rombak Kabinet. Jadi kita serah kepada dia yang akan menentukan dan kami ini akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Pulau Pinang bersama pengerusi Amanah negeri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa di sini hari ini.

Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan berkata, spekulasi rombakan Kabinet itu telah mula tersebar sejak tahun lepas lagi, dan ia bukan perkara baharu.

Rabu lepas, Dr Mahathir membayangkan kemungkinan rombakan Kabinet dilakukan susulan kekalahan PH dalam pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH merangkap pengerusi Bersatu, bagaimanapun berkata keputusan mengenainya “tidak akan dibuat hari ini atau esok”. – Bernama