Bernama
Beberapa laporan polis dibuat terhadap seorang pemilik akaun
Facebook menggunakan nama Foo Sing Wai. (Gambar AFP)
KUANTAN: Polis menahan seorang warga emas berusia 68 tahun bagi
membantu siasatan dakwaan menghina Nabi Muhammad di laman sosial
Facebook miliknya.
Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zuhdin Mahmud berkata lelaki itu
ditahan di rumahnya di sebuah taman perumahan di Mentakab, Temerloh,
pada 11.30 pagi ini.
“Suspek akan dihantar ke Johor memandangkan laporan polis dibuat di Batu Pahat,” katanya semasa dihubungi, hari ini.
Semalam, beberapa laporan polis dibuat terhadap seorang
pemilik akaun Facebook menggunakan nama Foo Sing Wai yang didakwa
menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda, Aisyah.
Perbuatan itu menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini kerana disifatkan amat keterlaluan dan melampau.
Sementara itu Persatuan Kebajikan Ukhwan dan Silaturrahim Pahang
(Ukhwah) turut membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa
menyiasat satu lagi akaun Facebook yang menggunakan nama Sarkar Tanesan
selain Foo Sing Wai, berkaitan isu ini.
“Kita minta pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik
kedua-dua akaun ini kerana ia menggugat keharmonian serta perpaduan kaum
di negara ini.
“Laporan polis hari ini juga diharap dapat membuka mata pihak
kerajaan untuk mengetatkan undang-undang berkaitan penghinaan. Sampai
bila kita mahu membuat laporan kepada pihak polis apabila berulang kali
timbul isu-isu seperti ini,” katanya yang ditemani hampir 50 ahli
persatuan selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah
Kuantan hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan