SANDAKAN: Seorang lelaki hilang semasa memukat ikan di Sungai Long Towie, Kampung Segaliud, di sini, pada Rabu.
Mangsa dikenali sebagai Mohamad Salim, 62 tahun, yang masih belum ditemui setakat jam 8 pagi ini.
Difahamkan, mangsa keluar memukat bersendirian dengan menaiki bot jenis gentian kaca pada jam 7 pagi semalam.
Namun, sehingga jam 8 malam tadi, mangsa masih tidak pulang ke rumah menyebabkan ahli keluarganya melaporkan kejadian kepada pihak polis dan bomba.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada jam 10.59 malam.
"Sepasukan enam orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan kemudiannya dihantar ke lokasi itu untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Pada jam 1 tengah malam, pasukan SAR menemui bot mangsa dalam keadaan terbalik.
"Tetapi, mangsa gagal ditemui lalu SAR ditangguhkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi SAR disambung pagi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan