Niat
asal seorang warga emas yang ingin membuat laporan polis bertukar
malang hari ini setelah berlaku salah faham sehingga dibawa ke hospital
menaiki ambulans kerana disyaki pesakit Covid-19.
Semua salah
faham ini gara-gara gelang berwarna merah jambu dari hospital yang
dipakainya dan ketika berada di Balai Polis Sentul, di Kuala Lumpur
warga emas itu berkata dia batuk serta sesak nafas.
Warga emas
yang hanya mahu dikenali sebagai Razak itu menjelaskan gelang berwarna
merah jambu tersebut sememangnya dari hospital namun bukan kerana dia
dijangkiti Covid-19.
”Saya masuk hospital enam hari sebab sesak nafas, masalah jantung. Semalam baru keluar.
“Lupa nak tanggalkan gelang hospital itu (gelang merah jambu),” katanya yang berasal dari Segambut itu.
Pada
awalnya, Razak, 80, menjelaskan alasan dia ingin membuat laporan polis
kerana berasa berang dengan sikap jemaah masjid di kawasan yang
menghalaunya ketika ingin mendirikan solat Asar di rumah ibadat itu atas
alasan yang sama.
“Mereka halau dan pukul sebab ingat gelang saya pakai itu Covid-19.
“Saya juga tidak tahu mereka kata apa, sebab tak dengar sangat. Mereka pukul. Saya marah hendak pergi nak buat laporan polis.
“Tetapi bila sampai (Ibu Pejabat Daerah) Sentul polis pula ingat saya ada Covid-19.
“Tak
sempat mahu beritahu (saya bukan pesakit Covid-19) orang hospital
datang pakai (PPE) (sut perlindungan diri) kena naik ambulans pergi
Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dia
yang mengaku terkejut dengan kejadian itu, namun berasa lega setelah
pihak hospital mengesahkan dirinya bukan seorang yang dijangkiti wabak
tersebut.
“Hospital lepas itu, tahan saya sekejap, tengok rekod baru tahu sebab saya punya gelang,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, selepas salah faham tersebut diselesaikan, dia dijemput oleh anaknya untuk pulang.
“Mereka ambil tag (merah jambu) itu dan kemudian bagi saya balik,” katanya lagi.
Balai kembali operasi 4 petang tadi
Salah
faham tersebut turut menyebabkan balai polis itu terpaksa ditutup
sementara waktu bagi menunggu keputusan dari pihak hospital.
“Atas
saranan petugas (hospital) yang tiba, pihak polis mengambil initiatif
untuk tindakan menutup Balai Polis Sentul secara sementara sahaja
menunggu keputusan dari pihak Hospital Kuala Lumpur.
“Tindakan
sanitasi di sekitar Balai Polis Sentul telah dibuat sejurus itu dan
semua petugas tidak dibenarkan keluar dari lokasi sehingga dimaklumkan
HKL,” kata Ketua Polis Sentul S Shanmugamoorthy menerusi kenyataan hari
ini.
Jelas Shanmugamoorthy, balai polis itu telah beroperasi seperti biasa jam 4 petang tadi selepas proses sanitasi kedua diadakan.