THE MALAYSIAN TIMES
SEMENYIH:
Sehingga semalam, kempen calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil
(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali sudah
meliputi lebih 40 peratus kawasan di DUN itu.
Bagi jentera PH pula, mereka sudah
bergerak ke lebih 70 peratus kawasan, sesuatu yang Muhammad Aiman anggap
sebagai satu kesungguhan yang baik hasil kerjasama berpasukan jentera
parti itu.
Pemuda berusia 30 tahun itu berkata, kawasan berkenaan merangkumi kawasan perumahan di bandar dan kampung.
“Untuk saya sendiri (bertemu pengundi),
saya sudah meliputi lebih 40 peratus kawasan Semenyih, termasuklah pekan
Semenyih, kawasan Beranang dan lokasi tumpuan awam seperti pasar pagi
dan pasar besar,” katanya kepada Bernama ketika berkempen di Taman
Semenyih Indah, di sini.
Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima ketika berkempen, ramai pengundi menyatakan sokongan padu kepada PH.
Pada PRK itu, Muhammad Aiman berdepan
cabaran calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi; calon Parti Sosialis
Malaysia Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas Kuan Chee Heng atau lebih
dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’.
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian
penyandangnya, Bahtiar Mohd Nor, 57, yang juga merupakan bapa mentua
Muhammd Aiman pada 11 Jan lepas, akibat serangan jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac sebagai hari mengundi, sementara pengundian awal 26 Feb ini.
Dalam berkempen, Muhammad Aiman
menggunakan peluang yang ada untuk mengenal pasti isu yang membelenggu
penduduk di Semenyih dan beliau merumuskan dua isu besar iaitu kesesakan
lalu lintas dan ketiadaan hospital kerajaan.
Katanya, soal hospital merupakan satu kemudahan yang sangat kritikal bagi penduduk di Semenyih.
“Umum mengetahui Hospital Kajang sudah
terlalu kecil untuk menampung lambakan pesakit hinggakan ada yang
terpaksa diletakkan di koridor. Kepadatan penduduk yang bertambah,
kepesatan pembangunan dan perumahan serta faktor jarak Hospital Kajang
yang jauh, jelas menunjukkan rakyat perlukan hospital baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Aiman berkata,
jenteranya perlu lebih agresif dalam kempen mereka untuk bertemu
pengundi seramai mungkin.
“Jentera kita semua bersemangat. Saya
tetap akan turun ke setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan berusaha
sepenuhnya untuk meningkatkan lagi capaian kempen itu,” katanya. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan