Jumaat, 15 Februari 2019

Isu ‘kutip sampah’, Rahim cabar Rafizi debat

Manzaidi Mohd Amin

Rahim Tamby Chik.
Rahim Tamby Chik.
 

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik sedia berdebat dengan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung kemasukan tujuh Ahli Parlimen UMNO dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Rafizi membuat cabaran itu dengan meminta ibu pejabat PKR mengatur majlis debat itu termasuk menentukan lokasi dan tarikh.

“Kalau Rafizi setuju untuk berdebat dengan saya, saya minta ibu pejabat PKR susun majlis debat ini sebaik mungkin.

“Tentukan lokasi dan tarikh, (biar) ia terbuka kepada umum dan majlis debat ini tidak boleh dijadikan tempat politiking iaitu bersorak-sorak tak tentu pasal dan perjalanan debat (mesti) terbuka kepada semua media,” katanya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Rafizi menerusi ciapan Twitternya pada Rabu lalu menyatakan, jika PPBM menerima bekas Ahli Parlimen UMNO untuk melemahkan parti itu, ia tidak akan berjaya.

Sebaliknya, ujar beliau, PPBM hanya dilihat sebagai ‘mengutip sampah’ dan tindakan itu berlawanan dengan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Kata Rafizi, ia juga melunturkan semangat penyokong Pakatan Harapan (PH) ke arah menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.

Menurut Rahim, otak seperti itu (Rafizi) sama tarafnya dengan cara berpolitik di tepi jalan.

“Banyak kenyataan Rafizi memang merosakkan PKR dan PH. Sebab itulah dia ditolak dalam pemilihan partinya baru-baru ini.

“Saya cabar dia untuk berdenat dengan saya mengenai strategi PH..setuju?” ujarnya kepada Rafizi.

Beliau bagaimanapun memuji sikap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyifatkan kemasukan tujuh Ahli Parlimen UMNO itu boleh membantu usaha menambah keahlian PPBM.

“Mohamed Azmin ternyata mempamerkan ketokohan politik yang jauh lebih mantap dari bab tokoh PH yang masih dalam kepompong lama.

“Tun Dr. Mahathir (Mohamad) bukan saja pemimpin utama PPBM dan PH, dia tokoh penyelamat Melayu dan negara,” kata Abdul Rahim. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: