Rabu, 13 Februari 2019

DUN Semenyih milik siapa?




Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih djadualkan berlangsung 2 Mac ini, sementara tarikh penamaan calon ditetapkan 16 Februari ini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), DUN tersebut dimenangi Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor daripada PPBM/Pakatan Harapan (PH) yang memperolehi 23,428 undi, mengatasi Datuk Johan Abd Aziz daripada Umno/Barisan Nasional (BN) yang memperolehi 14,464 undi, Mad Shahmidur Mat Kosim daripada PAS 6,966 undi dan S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) 1,293 undi.

Bakhtiar menang dengan majoriti 8,964 undi, manakala undi rosak sebanyak 546 undi. Jumlah keluar mengundi ialah 87.9% atau 46,839 pengundi.

Daripada keseluruhan 53,257 pengundi di DUN itu, pengundi Melayu paling ramai, iaitu 36,857 orang (69.2%), diikuti Cina 8,939 orang (16.8%), India 7,062 orang (13.3%) dan baki ialah kaum lain.

PRK Semenyih dan PRK Cameron Highlands

Calon-calon utama yang dijangka bertanding di PRK Semenyih datang daripada PPBM/PH dan Umno/BN.

PAS awal-awal lagi mengisytiharkan tidak akan bertanding untuk memberi laluan kepada Umno/BN dan akan menyokong mereka seperti di beberapa PRK lain, termasuk Cameron Highlands.

PAS mengharapkan kerjasama mereka dengan Umno/BN akan membawa kejayaan seperti di Cameron Highlands.

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng yang juga dikenali sebagai “Uncle Kentang” atau “orang 10 sen” dan PSM sudah menyuarakan hasrat bertanding sebagai calon bebas.

Tetapi, mereka dijangka tidak membawa apa-apa impak dan kesan kepada keputusan PRK Semenyih seperti ramai calon bebas dalam beberapa PRK lalu.

Apabila membandingkan senario politik antara Cameron Highlands dan Semenyih, kita dapati keadaannya jauh berbeza antara satu sama lain.

Di Cameron Highlands, Umno/BN mempunyai banyak kelebihan. Antaranya, Umno/BN membuat pilihan bijak dengan memilih orang tempatan berketurunan Orang Asli yang beragama Islam dan bekas pegawai kanan polis sebagai calon mereka.

Cameron Highlands juga merupakan kerusi tradisi BN sejak ia mula diwujudkan pada PRU11. BN masih menguasai kerajaan Pahang dan Datuk Seri Najib Razak masih disanjung Orang Asli serta Melayu di kerusi Parlimen itu. Jasa Tun Abdul Razak Hussein dikenangi dan dihargai pengundi Cameron Highlands dan undi blok PAS jelas pergi kepada calon Umno/BN.

Sementara itu, calon PH berbangsa India. Beliau tidak mampu menangani isu perkauman dan agama yang dimainkan Umno/BN.

Di Semenyih, senarionya agak berbeza. Antara kelainannya ialah PPBM/PH telah memberi isyarat awal akan memilih anak tempatan sebagai calon mereka.

DUN Semenyih dimenangi PPBM/PH pada PRU14 dengan majoriti kurang daripada 9,000 undi. Jika hampir 7,000 undi yang diperolehi PAS dicampur 14,500 undi diperolehi Umno/BN pada 9 Mei 2018, PPBM/PH masih mempunyai kelebihan kurang daripada 2,000 undi.

DUN Semenyih terletak di bawah Parlimen Hulu Langat. Ahli Parlimennya ialah Hasanuddin Mohd Yunus juga daripada PH. Selain DUN Semenyih, satu lagi DUN di bawah Parlimen itu ialah Dusun Tua. DUN itu turut dimenangi PH pada PRU14.

Pada PRU13, Parlimen Hulu Langat dimenangi PAS, manakala DUN Semenyih dimenangi Johan daripada BN dengan majoriti 4,757 undi dan DUN Dusun Tua dimenangi PAS.

Kerajaan negeri pula dikuasai PH sejak beberapa penggal kebelakangan ini. Semenyih adalah kawasan separa bandar dengan profil pengundinya yang lebih berpelajaran. Maknanya, pengundi Semenyih dikira lebih peka dengan isu semasa politik berbanding pengundi Cameron Highlands.

Kelainan senario ini bukan sahaja akan menimbulkan dinamik politik berbeza daripada Cameron Highlands, malah ianya akan turut mempengaruhi sikap pengundi dan keputusan PRK nanti.

Isu semasa

Bagi pengundi DUN Semenyih, keadaan dan tahap kemajuan pembangunan ekonomi di Semenyih akan menjadi perhitungan utama dalam menentukan sokongan mereka kepada parti bertanding.

Hasil perbualan awal dengan penduduk tempatan, penulis mendapati mereka berpuas hati dengan usaha kerajaan negeri di bawah PH untuk menjana pembangunan ekonomi tempatan.

Mereka berpendapat pemimpin PH tempatan, kerajaan negeri dan pusat telah memberi penekanan kepada penyediaan kemudahan asas untuk penduduk Semenyih.

Isu semasa yang sering menjadi tajuk perbincangan akan kembali menjadi bahan debat hangat di Semenyih seperti di PRK Cameron Highlands.

Ini termasuklah keadaan ekonomi semasa yang lembab dan kos sara hidup tinggi, isu bangsa dan agama, khususnya ancaman kepada politik ketuanan Melayu, prestasi PH, perbalahan sesama sendiri dalam PH, menteri-menteri Kabinet yang kurang meyakinkan, usaha Umno dan PAS untuk memperkasa parti masing-masing dan kerjasama antara mereka, keberhasilan kerjasama Umno dan PAS ketika PRK Cameron Highlands dan isu hangat semasa melibatkan PAS, Umno dan PPBM/PH.

Isu hangat PAS, Umno dan PPBM/PH

Umno masih dihantui isu integriti dan masalah kredibiliti legasi peninggalan kerajaan Najib serta konco-konconya. Ramai pemimpin negeri dan tempatan turut terpalit politik toksik kerajaan lama melibatkan salah laku dan politik wang.

Kiranya masih terlalu awal untuk Umno/BN mengharapkan rakyat melupakan atau memaafkan mereka atas kesalahan dan dosa tersebut.

PAS sedang lemas dengan isu sogokan sebanyak RM90 juta yang dikatakan disumbangkan Umno.

Keputusan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik saman fitnah ke atas Clare Rewcastle-Brown membuat ramai orang memandang serong kepada PAS dan mendorong mereka berfikir atau membuat rumusan Hadi memperakui tuduhan Rewcastle-Brown.

Rewcastle-Brown menyatakan beliau masih berpegang teguh kepada dakwaannya. Malah, artikel asal beliau masih kekal di laman sesawang Sarawak Report.

Rakyat juga telah ditayangkan satu video di mana Hadi menerusi satu sesi dialog pada awal tahun ini berkata, jika beliau menarik balik saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown, ertinya tuduhan tersebut adalah benar.

Satu rakaman audio pula ditularkan, di mana Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui parti Islam itu menerima wang sumbangan Umno.

Turut ditularkan di media sosial ialah slip deposit wang didakwa orang tengah Umno memasukkan RM2.5 juta kepada PAS serta dokumen mahkamah mendakwa dan menamakan beberapa pemimpin kanan PAS, termasuk ulamanya yang hidup dengan mewah ketika ini.

Semua ini membuat kredibiliti serta integriti PAS tercalar dengan teruk sekali kerana selama ini mereka menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Rewcastle-Brown, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Rafizi Ramli.

Episod ini dijangka membawa kesan kepada penyokong biasa PAS yang kurang fanatik dengan parti itu dan pemimpin mereka.

PH juga tidak terlepas daripada terjebak masalah integriti apabila beberapa pemimpinnya dituduh memberi fakta palsu atau mengelirukan tentang kelayakan akademik mereka.

Timbalan Menteri Luar merangkap Setiausaha Agung PPBM, Datuk Marzuki Yahya, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin serta Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dikatakan terpalit masalah kelayakan akademik.

Persoalan dibangkitkan orang ramai ialah ketelusan dan integriti pemimpin, bukannya masalah kelayakan akademik kerana umum dapat menerima pemimpin yang tidak mempunyai kelayakan akademik tinggi dan mampu menjadi pemimpin baik serta cekap.

Oleh kerana fakta berkenaannya belum jelas dan nyata, kita tidak seharusnya terlalu cepat menjatuhkan hukuman ke atas pihak terlibat. Kita harus memberi peluang kepada mereka membuat penjelasan lanjut tentangnya.

Lagipun, masalah berbangkit itu bukan satu jenayah, paling tidak ia bersabit isu moral dan prinsip sahaja. Masalah ini turut timbul pada zaman pemerintahan kerajaan terdahulu.

Rakyat berhak memandang serius soal ketelusan dan integriti pemimpin. Dalam masa sama, kita sedar ada banyak lagi masalah yang jauh lebih serius daripada isu ini. Mari kita saksikan bagaimana pucuk pimpinan PH menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara mereka untuk menyelesaikan masalah ini.

Isu terbaru ialah konsesi 50 tahun pembangunan 400 hektar hutan simpan di Perak yang didakwa diberikan Perbadanan Menteri Besar kepada sebuah syarikat dikuasai 2 individu bergelar “Datuk” yang ditubuhkan 5 bulan lalu, dengan hanya modal berbayar RM2.

Konsesi itu dikatakan memberi hak kepada syarikat berkenaan untuk membalak, membersihkan hutan dan menanam semula pokok yang diluluskan pihak berkuasa negeri. Setakat ini, menteri besar Perak belum memberi penjelasan konkrit mengenainya.

Parti komponen terbesar PH – PKR juga sedang bergelora dengan pergeseran antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali bersama penyokongnya. Ini semua menimbulkan tanda tanya, memeningkan kepala dan membuatkan rakyat rimas dengan hala tuju parti itu.

Meramal keputusan dan impaknya

Keputusan PRK Semenyih dikira akan membawa impak dan kesan besar kepada PPBM/PH, Umno/BN dan PAS.

Jika PH kalah, ianya akan memberi petanda buruk pada masa depan mereka sebagai sebuah gagasan, kerajaan negeri dan juga pusat. Ianya akan membawa erti rakyat mula hilang kepercayaan dan keyakinan kepada mereka selepas PRU14.

Perjalanan PH seterusnya sehingga PRU15 pastinya lebih mencabar dengan penyudahan yang mungkin mengecewakan mereka.

Jika Umno/BN tewas, maka ia bermakna rakyat jelata tetap menyokong PH dan tidak ada banyak perbezaan dalam sikap mereka sejak PRU14 hingga sekarang. Ertinya kredibiliti Umno/BN dan PAS belum pulih serta kerjasama 2 parti itu belum dapat diterima pengundi pantai barat.

Mengikut bancian awal di Semenyih dan keadaan semasa, PPBM/PH dilihat mempunyai kelebihan berbanding Umno/BN.

Perhitungan awal menunjukkan PH mampu meraih kemenangan dengan majoriti tipis. Kedua-dua pihak masih mempunyai masa, mulai sekarang hingga tarikh pengundian untuk mengubah keadaan serta keputusan.

Sama-sama kita ikuti perkembangan seterusnya.

*Wan Haron Wan Hassan ialah peguam dan aktif dalam gerakan masyarakat sivil.

Tiada ulasan: