Rabu, 13 Februari 2019

Politik Malaysia ala filem P Ramlee

 
   
ULASAN | Kawasan mengundi Semenyih pada tahun 1950-an benar-benar mengingatkan kita kepada Malaysia (atau Malaya). Setiap rakyat saling bekerjasama, tanpa mengira kaum.

Karya seni al-Marhum P Ramlee bukan sekadar legenda. Ia merupakan peringatan bagaimana seharusnya Malaysia itu dicorakkan – tanpa perlu merujuk secara khusus kepada perlembagaan persekutuan, atau kontrak sosial seperti Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020.

Filem Ali Baba Bujang Lapok contohnya. Ia mirip dengan dakwaan apa yang telah dilakukan oleh mantan perdana menteri Najib Razak.

Memandangkan Ali Baba Bujang Lapok merupakan sebuah filem mengenai ketamakan manusia, adalah menarik untuk melihat orang-orang lama Umno dan PAS yang membesar dengan filem P Ramlee itu sendiri kemudiannya bersikap tamak, sebagaimana dalam filem pengajaran itu.

Dalam Anakku Sazali, P Ramlee mengisahkan mengenai ujian yang dihadapi oleh seorang bapa yang sudah lanjut usia, di mana anaknya telah tersasar dari kebenaran. Demikian juga, rakyat Malaysia bersama-sama pemimpin seperti Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, serta sebahagian daripada adik-beradik Najib, telah berkali-kali mengingatkan mantan perdana menteri itu agar kembali ke jalan yang lurus.

Namun Najib dan segerombolan penyamunnya, yang sibuk dengan kapal layar, jet peribadi dan MPV, enggan untuk mendengar. Tiada pilihan lain bagi pemimpin pembangkang tatkala itu untuk mencabar Sazali-Sazali Umno dan PAS ini, kecuali dengan menubuhkan Pakatan Harapan.

Selepas kemenangan PH pada 9 Mei lalu, pasukan polis telah melancarkan serbuan ke atas harta milik Najib. Rakyat terkejut apabila pihak polis menemui sejumlah wang yang besar dan barang kemas yang bernilai hampir RM1 bilion.
Kemudian ada juga filem Antara Dua Darjat, yang P Ramlee menangisi dirinya sehingga menjadi buta. Daripada tinggal di rumah yang besar, dia tidak lagi mampu menyara dirinya sehingga terpaksa tidur di bawah sebuah rumah yang uzur.

Ekoran daripada keangkuhan moral Umno dan PAS, mereka melihat diri mereka lebih mulia daripada orang lain. Dengan mempergunakan Tuhan, agama dan fahaman etika yang menyeleweng, mereka melihat ia baik untuk mempermainkan (troll) rakyat yang bangkit membantah amalan rasuah mereka.

Ataupun mereka memejamkan mata terhadap skandal kewangan masing-masing, di samping memberikan hadiah dan saguhati, dalam bentuk BR1M dan gula-gula – sedangkan jurang pendapatan semakin melebar.

Tidak perlu untuk jadi seperti tukang tilik dalam Nujum Pak Belalang untuk meramalkan takdir Umno dan PAS. Hayat mereka sudah pun berakhir. Kini mereka berdepan dengan berbagai pertuduhan jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Kedaulatan undang-undang memang membenarkan seseorang dianggap sebagai tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, tetapi Umno dan PAS sudah pun menjadi jenama yang tercemar.

Sebagaimana yang terzahir pada pilihan raya 9 Mei, tidak seorang pun daripada rakyat Malaysia yang mengambil iktibar daripada filem tersebut akan berpihak kepada kedua-dua parti yang rosak itu.

Rakyat mungkin berasa kecewa dengan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh Harapan, seperti mempertahankan pemalsuan sijil Cambridge, tetapi ia boleh dan akan memperbaiki rekod yang tercemar ini, bermula dengan pilihan raya 2 Mac di Semenyih.

Sebab itulah penting untuk nilai-nilai murni dalam karya seni P Ramlee disemangati, agar Harapan boleh memenangi pilihan raya kali ini, dan agar ia boleh digunakan dalam setiap pembuatan polisinya.

Di Semenyih nanti, Umno dan PAS berkemungkinan besar akan mengetengahkan calon yang sama seperti orang minyak dalam filem P Ramlee.

Jika PH tidak mengambil iktibar daripada karya-karya seni P Ramlee, mereka akan mengalami nasib yang sama seperti hidup sebenar seniman itu di hujung kemasyhurannya.


*DR RAIS HUSSIN ialah pengarah strategi Bersatu.


Tiada ulasan: