Selasa, 19 Februari 2019

Bersatu akan didaftar di Sabah beberapa minggu lagi - Muhyiddin

Arfa Yunus dan Firdaus Azil, Astro Awani
Bersatu akan didaftar di Sabah beberapa minggu lagi - Muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon Pakatan Harapan N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali (duduk, kanan) pada sidang media selepas Progaram Sembang Santai, sempena PRK DUN Semenyih di Warung Kak Ting, Pekan Beranang hari ini. - Foto BERNAMA
 

SEMENYIH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan didaftarkan di Sabah dalam tempoh beberapa minggu lagi, kata presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Bersatu untuk melangkah masuk ke Sabah di mana ia diterima baik oleh presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Dengan keputusan baik ini, kita boleh terus mulakan langkah untuk menyemak daftar beberapa orang pemimpin di sana yang menyatakan kesediaan untuk masuk menjadi ahli Bersatu, sama ada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ketua Bahagian yang telah meninggalkan UMNO.

“Beberapa ribu borang permohonan telah dikemukakan mereka tetapi tidak lagi didaftar kerana kedudukan parti kita belum selesai di Sabah.

“Maka, itu (kedudukan Bersatu di Sabah) juga akan kita daftarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya dalam sidang media di Pekan Beranang di sini pada Isnin.

Bagi memasuki Sabah secara rasmi, Bersatu perlu melalui proses pendaftaran keahlian di sana dimana ia akan dibuat selepas pendaftaran cawangan dan bahagian parti itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Mengulas mengenai komen sesetengah pihak yang menyifatkan kemasukkan Bersatu ke Sabah sebagai satu ancaman, Muhyiddin berkata keputusan ini akan mengukuhkan lagi kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Warisan.

“Jangan melihat ini sebagai satu ancaman kerana ini adalah untuk mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) dan menguatkan kerajaan Warisan.

“Saya tak fikir tindakan sebegini akan melemahkan. Yang penting kita telah berjanji untuk bekerja rapat,” tambahnya.

Pada Isnin, Shafie berkata parti pimpinannya tidak mampu menghalang Bersatu atau mana-mana parti untuk melebarkan sayapnya ke Sabah.

Ketua Menteri Sabah itu menegaskan, Warisan akan terus mengekalkan kerjasama dengan PH dan berusaha memenuhi janji kepada rakyat demi kepentingan rakyat Sabah.

Tiada ulasan: