Orang yang hipokrit pula hidup dalam kepura-puraan dan ada perbezaan karakter. Di luar sikapnya berbeza jika dibandingkan di rumah. Di pejabat sikapnya lain-baik, peramah, suka membantu, lemah-lembut tutur bicara, sopan dan suka membahagiakan orang. Bagaimanapun di rumah iaitu ketika bersama keluarga sikapnya 100 peratus bertukar. Ibarat hujan dengan panas dan malam dengan siang.
 Di rumah dia menjadi garang, pemarah, kasar, suka membuat ahli keluarganya stres, tidak bertanggungjawab, tidak mesra dan tidak penyayang. Ingatlah sikap hipokrit tidak bagus dan tidak disukai orang. Bak kata peribahasa Melayu umpama ‘talam dua muka’. Jadilah seorang yang jujur terutama pada diri sendiri. Lebih baik kita tidak disukai atas faktor menjadi diri yang sebenar daripada disukai disebabkan diri yang hipokrit.
Siapakah diri yang sebenar? Diri yang sebenar ialah diri semasa kita kanak-kanak, ketika jiwa bersih. Fitrahnya semua bayi dilahirkan dalam keadaan suci, ibarat kain putih. Namun suasana yang dilaluinya sehingga dewasa telah mewarnai hidupnya, dengan pelbagai warna kehidupan. Oleh itu jika kita tersilap membuat pilihan dalam membuat keputusan dan tidak pandai mengawal minda, kita tidak akan menjadi diri yang sebenar lagi.
Justeru, untuk menjadi diri yang sebenar, asasnya ialah kejujuran. Kejujuran ukurannya pada hati. Hati yang bersih akan menghasilkan tindakan yang bersih. Menurut Imam al-Ghazali; “Hati manusia ibarat kolam. Segala anggota dan pancaindera yang zahir seperti mata, telinga, lidah dan lain-lain umpama sungai. Apabila anggota dan pancaindera terlibat dengan dosa, maka setiap dosa yang dilakukan itu akan mengalir ke dalam hati. Maka akan rosak binasalah seluruh kehidupan.”
Ini kerana kejujuran tidak mudah terpedaya dan diperdaya, walaupun diumpankan dengan wang ringgit, emas permata, pangkat mahupun harta di hadapan mata.
Kejujuran ialah perisai bagi orang yang berpegang kepada prinsip hidup. Ertinya kita tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran dan tahu memilih yang baik atau buruk sepanjang kehidupan. Kita yang mencorakkan bentuk kehidupan. Kebal daripada pengaruh luaran biarpun kita berada dalam suasana itu.

Terpengaruh

Umpama ikan di lautan, tidak masin biarpun sepanjang hayat berendam dalam air laut. Sebaliknya, bagi orang yang ‘menjual’ kejujurannya, dia mudah terpengaruh dan ‘gelap mata’ dengan peluang yang terdedah di hadapan mata.
Orang begini dipanggil, orang yang kehidupan berlaku ‘ke atas’ iaitu apa-apa yang dilihat, didengar dan dialaminya dipercayai terus masuk ke dalam mindanya, tanpa tapisan untuk menolaknya sekali gus mudah dipengaruhi. Jadilah dia seperti ikan di darat, setelah digaramkannya maka masinlah ikan tersebut.
Tegasnya, sama ada kita seorang yang mudah dipengaruhi oleh persekitaran atau yang mempengaruhi persekitaran, bergantung kepada kejujuran diri, yang datang dari hati. Untuk tahu siapa diri ini yang sebenar, nilailah akhlak kita sama ada baik atau buruk.
Cermin diri untuk melihat kelemahan diri sendiri, bukannya mengambil kanta pembesar dan halakan kepada orang lain untuk melihat dan menilai mereka. Dengan kanta pembesar seseorang tidak akan nampak diri yang sebenar dan kanta pembesar hanya menyerlahkan apa yang hendak dilihat tentang orang lain sahaja. Tetapi, dengan melihat diri di cermin, kita nampak diri sendiri dan boleh serlahkan segala kekurangan.
Kejujuran perlu dibina melalui hati atau dunia dalaman yang positif. Kaedahnya dengan cara mengawal lidah, meningkatkan ketakwaan, memberi nasihat dan mendidik hati bersabar. Seperti kata-kata Khalifah Umar al-Khatab; “Aku mengamati semua sahabat dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapat yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tetapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar.”
Maka jelaslah dalam kehidupan manusia ini, apa-apa yang lahir daripada percakapan atau tulisan boleh menggambarkan hati dan fikiran kita. Daripada hati dan fikiran yang baik akan lahir kata-kata yang baik.
`Berani kerana benar’ itulah kata orang tua-tua dahulu untuk berdiri di jambatan kejujuran. Berserahlah kepada Allah. Seterusnya amalkanlah lima perkara ini. Pertama, hati mesti lurus. Bagaimana Allah hendak menolong kita kalau hati tidak lurus kepada-Nya.
Kedua, ibadah mesti bagus, kerana Allah cipta kita sebagai hamba-Nya untuk beribadah. Ketiga, hidup harus lurus. Hanya di jalan Allah kita akan mendapat takdir terbaik. Keempat, ikhtiar harus serius. Jangan setengah jalan ketika berusaha sebaliknya ikhtiarlah bersungguh. Kelima, taubat terus menerus kerana niat yang salah, amal yang buruk boleh diperbaiki oleh taubat. Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.