Kemuncaknya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas-tugas Presiden.

Namun begitu, ribut dalam UMNO ini kemudiannya sedikit reda di bawah kepimpinan baharu Mohamad atau dikenali dengan Tok Mat dan hadirnya juga di PRK Cameron Highlands mulai mengubah rentak politik UMNO.

Dengan bantuan Pas, jentera pembangkang kelihatan bersungguh-sungguh dan penuh semangat dalam usaha mempertahankan kerusi yang sebelumnya disandang oleh MIC mewakili Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu langkah BN meletakkan calon daripada keturunan Orang Asli yang beragama Islam dilihat sebagai satu strategi yang bijak. Ini kerana ia dilihat mewakili demografi kawasan Parlimen Cameron Highlands yang mana orang Melayu dan Orang Asli mewakili kira-kira 55 peratus dari jumlah keseluruhan pengundi.

Pendekatan meletakkan calon Orang Asli beragama Islam turut memberi kesan psikologi yang bukan sedikit terhadap segmen pengundi bumiputera yang berjaya mencetuskan gelombang nasionalisme Melayu Islam di tanah tinggi tersebut.

Meskipun banyak penganalisis mengatakan keputusan PRK Cameron Highlands tidak membawa impak yang signifikan terhadap pola pengundian, hanya sekadar kejayaan UMNO-Pas


memobilisasikan peratus keluar mengundi yang tinggi bagi segmen pengundi bumiputera, tetapi PRK ini sebenarnya satu kejayaan bagi UMNO mensimulasikan penyatuan politik bersama Pas bagi mewujudkan satu gerakan bersepadu Melayu Islam untuk menentang PH secara satu lawan satu pada masa hadapan.

Dengan strategi mengukuhkan sokongan Melayu melalui isu-isu kaum dan agama, perjuangan UMNO kini mendapat sokongan padu Pas dan menjelang PRK Semenyih yang akan dijalankan pada 2 Mac akan datang, parti Islam itu awal-awal lagi sudah menyatakan kesediaan memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding.

Persoalannya apakah UMNO mampu mengulangi sekali lagi kejayaan seperti yang berlaku dalam PRK Cameron Highlands? Sebagai ahli akademik yang mengkaji trend dan tingkah laku pengundi dalam politik pilihan raya, penulis tidak menganggap usaha UMNO ini sesuatu yang mudah.

Landskap dan demografi politik Semenyih berbeza sama sekali dengan Cameron Highlands.


Klasifikasi lokasi dan demografi Semenyih sebagai kawasan bandar dan semi bandar sememangnya menjadi kubu kuat PH berdasarkan trend semasa politik alaf baharu Malaysia.

Bagaimanapun, beberapa isu tertangguh dan beberapa janji kerajaan PH yang masih belum ditunaikan walaupun kerajaan PH telah menunjukkan komitmen dan usaha pemulihan negara ke arah kedudukan lebih baik, gabungan UMNO-Pas diramalkan mampu mengugat kedudukan PH.

Ini memandangkan jumlah peratusan pengundi Melayu yang tinggi di DUN Semenyih, berpotensi untuk mengalihkan sokongan Melayu kepada calon UMNO yang disokong oleh Pas. Calon UMNO sebenarnya masih mampu menarik segmen sokongan pengundi Melayu berdasarkan situasi semasa yang menunjukkan adanya kebimbangan orang Melayu terhadap persepsi bahawa penguasaan bukan Melayu semakin bertambah dalam konsesi politik Malaysia baharu.

Satu lagi persoalan, apakah UMNO masih mempunyai masa depan dalam politik Malaysia di masa depan? Penulis menilai bahawa UMNO masih mempunyai credential untuk kembali semula berkuasa pada pilihan raya akan datang sekiranya kerajaan PH yang dikomposisikan oleh PKR, Bersatu, Amanah dan DAP gagal menyelesaikan beberapa isu yang telah lama membelenggu rakyat seperti peningkatan kos hidup, kejatuhan nilai matawang, kesuraman ekonomi dan kurangnya peluang pekerjaan serta perniagaan.

Dalam sistem dan budaya politik mutakhir ini, meskipun ramai ahli akademik percaya wujud trend pemikiran politik baharu, misalnya wujud pengundi berorientasikan developmentalism dan individual-consumerist dan faktor ini memberi kelebihan kepada parti-parti berasaskan bandar yang kini telah membentuk kerajaan PH seperti DAP, PKR dan Amanah tetapi penulis kira soal hubungan kaum akan terus menjadi elemen penting dalam politik Malaysia.

Hakikatnya, kemenangan PH yang ditunjangi PKR dan DAP dan berasaskan keadilan untuk semua, sama rata sama rasa turut menimbulkan persoalan dan dilema hebat bahawa sejauh mana parti-parti ini boleh diharapkan menjaga survival ‘Melayu-Islam’ berbanding UMNO.

Kekhuatiran seperti inilah mungkin menimbulkan cakap-cakap mengenai penyatuan Melayu sejak lama dahulu mengenai pembentukan kerajaan UMNO-Pas di Selangor dan Perak. Cakap-cakap seperti itu (penyatuan politik Melayu) sebenarnya lahir daripada lonjakan semangat nasionalisme Melayu yang merentas budaya kepartian.

Dan dari PRK Sungai Kandis hinggalah PRK Cameron Highlands, penyatuan Melayu-Pas menjadi kenyataan dan kerjasama ini akan menjadi lebih hebat menjelang PRK Semenyih nanti. Justeru meneliti perkembangan politik semasa, penulis menjangka UMNO masih berpeluang meraih sokongan dengan syarat parti itu mesti responsif dengan kehendak dan kemahuan rakyat secara keseluruhannya.

Apapun tidak dinafikan cabaran UMNO selain membersihkan imej parti daripada rasuah, kemunculan Bersatu di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir boleh merencatkan rancangan pemulihan UMNO. Cabaran UMNO dan BN di Semenyih adalah Bersatu yang tidak boleh diperkecilkan kemampuannya untuk meraih sebahagian sokongan segmen Melayu.

Manakala segmen Melayu berpendidikan juga menjadi cabaran besar buat UMNO dengan kehadiran PKR dan Amanah, dua parti yang popular bagi Melayu bandar.

Adakah dengan bantuan Pas, UMNO mampu mengalahkan PH kali ini buat kedua kali berturut-turut?

Atas kertas penulis melihat PH mempunyai peluang lebih besar, namun keputusan PRK ini begitu penting bagi kedua parti iaitu BN dan PH.

Kemenangan bagi UMNO dan BN adalah petanda pemulihan parti itu yang mulai diterima kembali oleh rakyat. Sebaliknya kemenangan PH boleh membuktikan pengaruh parti kerajaan itu kekal utuh dan tidak boleh digugat di kawasan tradisinya (bandar). Penulis tidak fikir kedua-dua pesaing akan memandang mudah pilihan raya kecil ini kerana pertembungan di DUN Semenyih adalah perjuangan hidup mati bagi BN dan PH.

DR. MAZLAN ALI ialah penganalisis politik dari UTM Perdana Centre