PUTRAJAYA – Alat jimat tenaga (ESD) yang terdapat di pasaran, tidak berkesan mengurangkan bil elektrik pengguna seperti yang diiklankan, kata Suruhanjaya Tenaga.
Dalam satu kenyataan hari ini Suruhanjaya Tenaga berkata kajian terhadap ESD mendapati bacaan meter pengguna tidak menunjukkan perbezaan ketara, selain tiada mana-mana badan bertauliah membuktikan alat tersebut memberi kesan penjimatan tenaga elektrik.
Katanya, pengguna mungkin terpengaruh dengan demonstrasi penjual yang menunjukkan perbandingan kadar arus elektrik yang menjadi lebih rendah setelah ESD dipasang.
“Kadar arus akan berkurangan, namun jumlah kuasa yang direkodkan tetap sama, mengikut bilangan dan kadar kuasa peralatan elektrik yang digunakan.
“Ini sekali gus tidak akan memberi perbezaan ketara terhadap penggunaan elektrik yang diukur berdasarkan kilowatt-jam (kWj) penggunaan dengan menggunakan formula Arus x Voltan x Faktor Kuasa x Masa digunakan,” kata suruhanjaya itu.
Suruhanjaya Tenaga berkata pemasangan ESD tidak memberi penjimatan bil elektrik di premis domestik sehingga 30 peratus seperti yang didakwa, kerana meter elektrik merekodkan penggunaan kuasa sebenar (kWh) sedangkan ESD, yang komponen utamanya merupakan kapasitor, hanya memberi kesan kepada penggunaan kuasa reaktif (kVaR).
Bagaimanapun, suruhanjaya itu berkata penggunaan kapasitor, memberi manfaat kepada pemasangan elektrik di sektor industri yang banyak menggunakan beban induktif, kerana ia dapat menambah baik kadar kuasa sistem bekalan pengguna dan seterusnya mengelakkan pengguna dikenakan penalti oleh pihak utiliti.
Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan yang mengatakan ESD ini, termasuk dalam bentuk kad, boleh mengurangkan jumlah bil elektrik,” kata suruhanjaya itu yang turut menyelar tindakan pihak yang menggunakan logonya bagi tujuan promosi ESD di media sosial dan jualan terus kepada orang ramai.
Suruhanjaya itu menegaskan ia tidak pernah meluluskan apa-apa produk ESD dan tindakan akan diambil terhadap pihak yang menyalahgunakan logo mereka.
Bagi menjimatkan penggunaan elektrik, Suruhanjaya Tenaga menyarankan orang ramai membudayakan amalan cekap tenaga termasukkan menggunakan alat mempunyai label cekap tenaga dan mematikan kelengkapan elektrik yang tidak digunakan.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan