SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan
penyingkiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, tiga
tahun lalu, merupakan episod paling mencabar dalam politik di negeri
itu.
Dalam wawancara bersama The Star, Sultan Sharafuddin berkata baginda
juga sangat terkejut apabila Abdul Khalid disingkirkan. Baginda
bagaimanapun memuji kesetiaan Abdul Khalid.
“Saya tidak percaya apa yang berlaku khasnya kepada Khalid. Beliau sangat setia dan tiba-tiba disingkirkan.
“Mungkin ada agenda tersembunyi, mungkin saya bukan ahli politik dan
itu perkara yang saya tidak faham,” katanya dalam wawancara bersama
akhbar berbahasa Inggeris itu sempena Hari Keputeraan ke-72 esok.
Dalam pada itu ujar baginda, jantina bukan punca beliau menolak
pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Abdul
Khalid menerajui negeri itu.
“Sebab saya tidak menerima Wan Azizah bukan kerana saya fikir beliau tidak layak atau beliau seorang wanita.
“Saya telah kata sebelum ini, menteri besar tidak boleh berkawalan jauh
(remote control), beliau tidak boleh menjadi boneka. Anda perlu
mempunyai perwatakan kukuh untuk melakukan sesuatu buat rakyat.
“Apabila saya minta mereka serah nama, mereka hanya beri satu nama. Itu bermakna mereka menekan saya.
“Saya selalu minta beberapa nama daripada kerajaan sebelum ini dan
mereka kadangkala hantar sehingga tiga nama, tetapi mereka senaraikan
keutamaan mereka. Apa masalahnya untuk mereka hantar lebih daripada satu
nama?," kata baginda.
Abdul Khalid pernah meneraju pentadbiran negeri Selangor selama 6
tahun, di mana beliau diangkat sebagai Menteri Besar yang pertama
daripada PKR susulan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri
daripada PAS, PKR dan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.
Bagaimanapun krisis dalaman PKR susulan idea Langkah Kajang, yang
bertujuan menaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar,
menyebabkan Abdul Khalid terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas
dipecat PKR pada 2014.
No comments:
Post a Comment