Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Jangan politikkan ketidakhadiran Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang dalam Himpunan Putih: Solidariti Selamatkan
Baitulmaqdis bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam,
kata Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad
Idris bertegas, solidariti terhadap rakyat Palestin adalah isu sejagat
yang melangkaui mana-mana fahaman politik justeru kehadiran Hadi dalam
himpunan itu bukan kayu ukur sama ada ia berjaya atau tidak.
"Itu biasalah orang politik itu benda biasa. Hadir pun begitu, tidak
hadir pun begitu. Itu manusia yang tidak ada modal politik, tiada
agenda, tiada idea, politik jumud. Jadi pemikiran begitu. Akan 'create'
semua benda.
"Isu Palestin ini tidak perlu dipolitikkan. Isu Palestin ini isu
sejagat. Tidak perlu nak dipolitikkan," katanya kepada Antarapos hari
ini.
Beliau berkata demikian mengulas berkenaan ketidakhadiran Hadi dalam
himpunan putih yang berlangsung di Masjid Putra Putrajaya semalam.
Hadi sebaliknya diwakili anaknya, Muhammad Khalil yang merupakan ketua sayap dewan pemuda parti itu.
Khalil ketika ditemui pemberita tidak menjelaskan mengapa bapanya tidak hadir pada himpunan berkenaan.
Ahli Parlimen Marang itu sebelum ini dijadualkan bergandingan bersama
Najib dalam himpunan solidariti untuk rakyat Palestin susulan tindakan
Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Najib dan Hadi sebelum ini tampil di atas satu pentas bagi mengecam
kekejaman tentera junta terhadap etnik Rohingya di di wilayah Rakhine,
Myanmar.
Himpunan putih itu turut menyaksikan beberapa pemimpin Pakatan Harapan
(PH) hadir mewakili parti masing-masing dalam forum khas bagi
membincangkan solidariti mempertahankan Baitulmaqdis, yang diadakan
sebelum solat Jumaat.
Mereka ialah Naib Pengerusi Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus; Setiausaha
Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Majlis Pimpinan
Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Muhammad Faiz
Na’aman.
Sementara itu, mantan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr
Mahathir Mohamad turut kelihatan hadir di Masjid Putra, bagaimanapun
kehadiran beliau hanya untuk menunaikan solat Jumaat.
Sebelum itu, media melaporkan Dr Mahathir melakukan kejutan apabila
hadir ke perhimpunan berkenaan, sedangkan beberapa pemimpin PH
mengesahkan parti-parti gabungan pembangkang itu tidak akan
menyertainya.
No comments:
Post a Comment