MALAYSIAKINI
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang
juga menteri besar Kedah menasihatkan ahli Umno khususnya di negeri
dikuasai pembangkang supaya benar-benar menjuarai rakyat dalam usaha
mengembalikan negeri itu semula kepada BN.
"Seperti kami di Kedah, ketika kami kehilangan negeri ini pada PRU12,
kami ambil pandangan daripada Terengganu yang berjaya dirampas semula
daripada pembangkang dan dari situ kami benar-benar faham apa sebenarnya
rintihan rakyat, juarainya dan kami tunjuk bagaimana nak selesaikannya.
"Kami bergerak seperti NGO dengan berkempen di sana sini dan respons
kami terima begitu luar biasa di mana kami dapati memang banyak perkara
rakyat tidak puas hati dengan kerajaan negeri.
"Saya bukan nak mengajar tetapi ingin berkongsi pengalaman, saya tahu
situasi dan pecahan penduduk di Selangor dan Kedah berbeza namun mungkin
ada sedikit iktibar untuk dicungkil dan dijadikan suntikan semangat,"
katanya.
Beliau yang juga ahli Majlis Tertingi Umno menegaskan demikian ketika
berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Tanjong
Karang semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang Datuk Shamsuddin
Lias, Naib Ketua Umno bahagian Tanjong Karang Datuk Sulaiman Abdul
Razak dan Ketua Pemuda Umno bahagian Tanjong Karang Maruwan Ahmad.
Mukhriz juga menasihatkan ahli Umno yang hilang jawatan atau tewas dalam
pilihan raya umum (PRU) supaya tidak kecewa kerana segala yang berlaku
mempunyai hikmah di sebaliknya.
Apa yang penting, katanya, ialah mengambil iktibar daripada setiap kegagalan atau kekalahan.
"Mungkin kita tiba-tiba hilang jawatan atau kalah dalam PRU atau
pemilihan parti dan mungkin itu mengecewakan tetapi percayalah, Allah
ada perancangan lebih baik untuk kita.
"Saya dalam politik terumbang-ambing... sekejap turun, naik tetapi lebih
banyak turun di mana saya tewas pemilihan ketua pemuda dan naib
presiden. Tetapi saya tenang sahaja kerana saya tahu Allah akan beri
yang lebih baik pada saya. Tidak ada keadaan yang mustahil bagi kita,"
katanya.
Sementara itu, ketika ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan
Pergerakan Wanita Umno bahagian Kota Raja di Shah Alam malam tadi,
Mukhriz menyarankan kerajaan menguatkuasakan Akta Pencegahan Keganasan
(POTA) sebaik mungkin bagi menghalang penyebaran sebarang anasir jahat
yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum di negara ini.
Katanya, ini kerana rakyat sudah muak dengan pelbagai kenyataan yang
dilontarkan oleh sesetengah pihak sejak kebelakangan ini yang langsung
tidak menjaga sensitiviti masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.
Katanya, beliau secara peribadi kecewa dengan pemansuhan undang-undang
pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan
Darurat (EO) yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan ke atas pihak
yang cuba memporak-perandakan negara.
"Ia digantikan oleh POTA. Ini undang-undang baru yang kita harap akan dikuatkuasakan sebaik mungkin.
"Ini perlu sebab percayalah saya rasa tak mustahil kalau ada musuh-musuh
dari luar negara sebenarnya bertujuan nak porak-perandakan keamanan
yang kita nikmati di Malaysia.
"Kita tidak tahu mereka ini sebenarnya mungkin mempunyai agenda politik,
sengaja mencetuskan (perbalahan) di pihak kita atau langsung tiada
sifat sayangkan keamanan," katanya.
Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang bertujuan
membanteras kegiatan keganasan di negara ini diluluskandi Dewan Rakyat
April lepas.
- Bernama
No comments:
Post a Comment