MALAYSIAKINI
Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan lemas selepas
terjatuh dalam baldi di bilik air rumahnya di Flat MPP Jalan Sungai Dua,
Sungai Nibong di George Town semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kanak-kanak berkenaan Jefril
Mohd Amnan Mohd Jaki dibawa ke bilik air untuk dimandikan oleh ibunya
sebelum wanita berkenaan meninggalkan mangsa bersama kakaknya berusia
lima tahun dalam bilik air itu berikutan mahu mengambil tuala.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata
semasa wanita berusia 33 tahun itu mencari tuala, beliau sempat
memberitahu anak perempuannya supaya tolong tengokkan adiknya.
Beliau berkata wanita itu yang merupakan pekerja kilang, tidak
mengesyaki apa-apa sehingga kembali semula ke bilik air dan mendapati
anak lelakinya telah terjatuh ke dalam baldi yang berisi air, dalam
keadaan tertonggeng iaitu sebahagian badan berada dalam baldi dan kaki
di luar.
Mior Faridalatrash berkata wanita itu terus mengangkat anaknya dan
mendapati muka kanak-kanak itu telah biru tetapi tangan masih bergerak
dan dia terus memanggil suaminya yang sedang tidur dalam bilik sebelum
mereka membawa ke klinik berhampiran.
Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang sebelum disahkan meninggal dunia.
Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak lelaki itu maut
disebabkan lemas dan doktor tidak menemui sebarang kecederaan dalaman
atau luaran.
- Bernama
No comments:
Post a Comment