Program Bina Bangsa wajib untuk sekolah rendah mulai tahun depan, kata menteri
Menteri
Pendidikan Datuk Mahdzir Khalid berkata Program Bina Bangsa bertujuan
meningkatkan hubungan antara murid pelbagai kaum sejak kecil, kerana
berdasarkan kajian pihaknya, rakyat Malaysia pelbagai kaum hanya bertemu
selepas 17 tahun, iaitu sewaktu melanjutkan pelajaran ke institut
pengajian tinggi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari. Kementerian Pendidikan kini sedang merangka
modul bagi melaksanakan Program Bina Bangsa yang akan melibatkan Sekolah
Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Bertujuan meningkatkan hubungan antara murid pelbagai kaum sejak kecil,
ia akan merangkumi aktiviti seperti program kepimpinan, kebudayaan dan
sukan yang diwajibkan ke atas murid sekolah rendah.
Menteri Pendidikan Datuk Mahdzir Khalid berkata, program tersebut
dijangka dimulakan tahun 2016 dan memilih sekolah di sekitar Lembah
Klang buat permulaan.
Beliau yang baru dilantik ke jawatan itu sebulan lalu mengakui, sukar
untuk kementerian itu menarik minat golongan bukan Melayu supaya
menghantar anak belajar di SK. "Hakikat ini kerana wujudnya sekolah seperti SJKC, dan sebagainya. Kita
membenarkan sistem pendidikan tiga aliran sejak merdeka lagi.
"Ini sudah tahun ke-58 kita capai kemerdekaan. Kalau kita bercakap
pasal perpaduan, membina negara bangsa, kita kena fikir bagaimana anak
berlainan bangsa ini bertemu.
"Maknanya, sekarang kita kena ada program bukan yang selektif, tetapi
wajib disertai mereka," katanya ketika ditemubual secara eksklusif The
Malaysian Insider.
Mahdzir berkata, kajian yang dibuat pihaknya sebelum ini mendapati
rakyat Malaysia pelbagai kaum hanya bertemu selepas 17 tahun, iaitu
sewaktu melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.
"Oleh itu, untuk sekolah rendah dalam masa 6 tahun, kita boleh
ketemukan mereka dalam program kepimpinan, budaya, sukan dan sebagainya.
"Program kepimpinan santai misalnya, mengumpulkan murid Cina, Melayu
dan India pergi tepi laut. Mereka belajar menghormati agama dan budaya
masing-masing," katanya menerangkan modul yang sedang dirancang dalam
kertas kerja yang sedang disediakan kementerian.
"Sekurang-kurangnya apabila Ustaz bawa anak murid solat, murid bukan Islam tahu mengenainya dan menghormatinya.
"Saya sedang membina modul membina negara bangsa, bukan bina orang Melayu sahaja, tetapi semua kaum," katanya.
Namun kata Mahdzir, modul tersebut mesti dipersetujui bersama pelbagai pihak terutama pentadbiran sekolah dan ibu bapa.
Fokus modul itu katanya, akan dimulakan di sekolah rendah sekitar
Semenanjung dan kemudiannya akan dikembangkan ke Sabah dan Sarawak.
"Di Sabah dan Sarawak sebenarnya saya tidak bimbang, kerana mereka memang sudah satu Malaysia.
"Dalam satu sekolah di sana, kita boleh lihat pelbagai kaum dan agama duduk di bawah satu bumbung," katanya.
No comments:
Post a Comment