OLEH AMIN ISKANDAR DAN MOHD FARHAN DARWIS
Bekas
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di
sebuah restoran di Pasar Seni, Kuala Lumpur sebelum melawat peserta
perhimpunan Bersih 4, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh
Nazir Sufari, . Tun Dr Mahathir Mohamad
berkata hari ini, demonstrasi jalanan merupakan satu-satunya cara untuk
menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekarang, sama
keadaannya seperti yang berlaku kepada bekas presiden Ferdinand Marcos
di Filipina.
“Kita nak singkir Najib saja, Barisan Nasional (BN) kekal,” katanya
sambil menambah, beliau berpendapat Najib tidak akan meletak jawatan
kerana dia akan perlu berhadapan mahkamah dan mungkin ke penjara.
Dr Mahathir berkata demikian kepada media ketika sedang berehat dan
minum petang di sebuah restoran di Pasar Seni sebelum mengunjungi
peserta Bersih 4 di ibu kota hari ini.
"Kalau kerajaan dah tak peduli pasal undang-undang, kita terpaksa gunakan demonstrasi.
"Lihat presiden Marcos, ketika memerintah Filipina, mereka terpaksa jatuhkan beliau melalui demonstrasi," katanya.
Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, beliau tidak
akan turun menyertai perhimpunan itu jika pasukan petugas khas yang
menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dibubarkan.
"Jika pasukan petugas khas tidak dibubarkan, saya tidak akan turun
demonstrasi semalam dan hari ini," katanya yang sekali lagi hadir
bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Turut mengiringi mereka ialah bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim dan isterinya Datin Suliana Alias.
Sebelum itu, mereka tiba di kawasan Pasar Seni dengan menaiki LRT.
Dr Mahathir berkata, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) seharusnya
bersama-sama mengusulkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak.
"Ahli Parlimen Umno yang setia kepada parti perlu sokong undi tidak percaya.
"Lepas itu kerajaan Najib akan jatuh. Kerajaan selepas itu perlu BN kerana BN ada majoriti," katanya.
Dr Mahathir berkata beliau dapat tahu ada ahli Parlimen Umno yang akan
mengusulkan undi tidak percaya terhadap Najib tetapi tidak tahu siapa
mereka.
"Saya minta ahli Parlimen Umno sedia (undi tidak percaya). Saya melihat
demonstrasi terhadap Presiden Guatemala, mereka demonstrasi
berhari-hari, tapi dia tidak berundur.
"Sokong ahli Parlimen anda. Jika tidak sokong undi tak percaya, kami tidak akan undi sebagai ahli Parlimen lagi.
"Sekarang ini tugas rakyat untuk menjadikan negara ini ditadbir tanpa rasuah," katanya.
Dr Mahathir merupakan pengkritik tegar dan paling lantang Najib
menggesa beliau meletakkan jawatan susulan pembabitan perdana menteri
dalam beberapa isu yang tidak dapat diselesaikan terutama skandal
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
No comments:
Post a Comment