THE MALAYSIAN INSIDER
Datuk Mustafa Ali menyarankan Putrajaya menubuhkan sebuah jawatankuasa Majlis Perundingan Negara (MPN) yang dilihat mampu menangani krisis negara yang berlaku, terutamanya terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, lapor Sinar Harian hari ini.
Dalam satu temubual khas bersama akhbar itu, bekas setiausaha agung PAS itu berkata, penubuhan MPN itu perlu melangkaui perbezaan politik di mana jawatankuasa tersebut harus dianggotai pemimpin utama semua parti.
Beliau turut menamakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad calon pemimpin paling layak menjadi pengerusi majlis tersebut, selain bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam dan bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah.
"Kalau ditanya siapa paling layak, Dr Mahathir adalah orangnya. Ini kerana Dr Mahathir pernah menjadi perdana menteri dan beliau memahami banyak perkara. "Saya yakin beliau boleh fikirkan macam mana nak selesaikan masalah negara sekarang," beliau dipetik berkata Sinar Harian.
Katanya, cadangan pelaksanaan majlis tersebut boleh dilakukan mana-mana ahli Parlimen dan tidak semestinya dari wakil rakyat pembangkang.
Ditanya sebab beliau membuat saranan tersebut, Mustafa memberitahu akhbar itu, masalah negara kini dilihat berada dalam tahap kritikal.
"Masalah ketika ini pelbagai. Ia kombinasi ekonomi, politik dan kesejahteraan rakyat. Saya tak pernah lihat ia berlaku pada zaman mana-mana perdana menteri sebelum ini.
"Ia terlalu tidak baik untuk negara apabila ada campur tangan dalam institusi daripada pemimpin negara. Situasi ini perlu dihentikan tetapi kita tak tahu bila akan ada perubahan," katanya
Pengarah pilihan raya PAS itu juga pada masa sama menyenaraikan beberapa cara yang boleh dilakukan bagi mengubah kerajaan sedia ada, termasuk mendesak peletakan jawatan perdana menteri.
"Pertama, pilihan raya. Itu normal. Kedua, melalui undi tak percaya. Ketiga, sistem 'precedence' (duluan) seperti yang berlaku di Perak.
"Keempat ialah menolak pembentangan bajet di Parlimen oleh perdana menteri yang biasanya dilakukan pada Oktober," katanya.
Mustafa berkata, sekiranya majoriti ahli Parlimen tidak meluluskan bajet 2016 yang akan dibentangkan nanti, itu bermakna ia satu undi tidak percaya kepada perdana menteri.
"Dan secara moralnya, beliau perlu letak jawatan," katanya.
No comments:
Post a Comment