KOTA BHARU, Dua lagi kakitangan Jabatan Perhutanan termasuk seorang yang baru bersara ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah berkaitan Projek Lebuhraya Rakyat di Hutan Simpan Ulu Sat, Machang, kelmarin.


Penahanan itu menjadikan seramai 13 individu sudah ditahan SPRM termasuk Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat berkaitan.

Difahamkan, tangkapan terbaru Khamis lalu membabitkan dua lelaki berusia 58 dan 56 tahun yang sebelum ini bertugas di Balai Pemeriksa Hutan, Machang dan mereka berdua dikatakan turut menerima rasuah sekitar RM700 hingga RM10,000.

Menurut sumber, tangkapan itu dilakukan sebaik soal siasat yang dilakukan oleh SPRM terhadap sembilan kakitangan Jabatan Perhutanan yang ditahan Rabu lalu.

“Suspek yang berusia 58 tahun itu baru bersara sebulan lalu, manakala seorang lagi dijangka bersara Ahad ini.

“Siasatan menyeluruh masih dilakukan dan SPRM dikatakan masih memburu beberapa individu yang turut terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
Kawasan tanah hutan yang dibersihkan untuk tujuan pembinaan Lebuhraya Rakyat sehingga menyumbang kepada kegiatan pembalakan haram di Ulu Sat, Machang. - Foto ihsan SPRM
Kawasan tanah hutan yang dibersihkan untuk tujuan pembinaan Lebuhraya Rakyat sehingga menyumbang kepada kegiatan pembalakan haram di Ulu Sat, Machang. – Foto ihsan SPRM
Sementara itu, Pengerusi Baldah Toyyibah (PRASARANA) Sdn Bhd, Datuk Hanifa Ahmad pula berkata bersedia untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung penangkapan ketua pegawai operasinya, dipercayai dakwaan rasuah berhubung projek terbabit.

Hanifa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, mengakui turut terkejut dengan perkara berkenaan dan apa yang berlaku itu di luar pengetahuannya.

Bagaimanapun katanya, PRASARANA akan bertanggungjawab meskipun kegiatan itu didalangi syarikat kontraktor yang dilantik dan pihaknya akan membayar ganti rugi berdasarkan nilai balak yang sudah ditebang.

“Buat masa sekarang, kita menunggu siasatan yang dibuat SPRM. Namun, saya difahamkan berdasarkan maklumat yang diberikan Jabatan Perhutanan, pembalakan haram itu berlaku di kawasan pembinaan rehat dan rawat (R&R).

“Berapa banyak jumlah yang perlu kita bayar belum diperoleh. Namun PRASARANA bertanggungjawab sepenuhnya dengan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Aban ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbaru itu dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Penahanan pegawai kanan terbabit dipercayai selepas menerima rasuah sekitar RM70,000 hingga RM80,000  daripada kontraktor yang membangunkan projek berkenaan di kawasan Hutan Simpan di Ulu Sat, Machang, sehingga menyumbang kepada kegiatan pembalakan haram.

Selain itu, SPRM juga turut menahan sembilan kakitangan Jabatan Perhutanan Machang termasuk seorang pesara serta seorang kontraktor yang didakwa menerima imbuhan sekitar RM700 sehingga RM10,000 setiap seorang.

Penahanan itu sekali gus mengesahkan dakwaan yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa, menerusi surat terbuka yang mendakwa berlaku pembalakan di luar kawasan terbabit kerana ada pihak mengubah pelan asal yang diluluskan kerajaan.