KUALA LUMPUR - Rata-rata peserta himpunan Bersih 4.0 mengambil sikap
positif bahawa segala mesej yang cuba diluahkan berjaya sampai kepada
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Namun menurut mereka, meskipun mesejnya sampai, namun mereka tidak
menolak kemungkinan himpunan Bersih 4.0 itu gagal memberi kesan kepada
pemimpin nombor satu negara itu.
Menurut salah seorang peserta yang merupakan pesara, Hamdan Abu Hassan
berkata, beliau menanti kesannya selepas himpunan itu tamat tengah malam
ini.
"Jika melihat kedegilan Najib ini, saya rasa masih tiada kesan apa-apa.
Tapi dengan 34 jam ini, mungkin akan beri kesan kepada pemerintahan
Najib. Jadi, kita lihatlah selepas ini.
"Saya turun menyertai himpunan ini kerana sebagai rakyat, saya perlu
mengambil tindakan. Jika tidak, nak harapan siapa lagi?," katanya.
Sementara itu, seorang mahasiswa, Mitty Yee, 20 berharap tuntutan Bersih 4.0 itu dapat dicapai.
"Sebab kita lihat ramai yang turun. Ia juga ke peringkat global. Dunia melihat.
"Jika Najib masih berdegil, jadi kita akan ada Bersih 5.0," katanya.
Malah beliau menegaskan penglibatannya dengan Bersih 4.0 kali ini adalah demi masa depannya sendiri.
"Kerana saya mahasiswa sekarang, jika saya tidak membantah hari ini, masa depan nanti saya merana," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi peserta, John Lim, 52, juga akui agak sukar untuk tuntutan Bersih 4.0 itu dicapai.
"Susah sedikit tapi saya fikir ada lah peluang agar tuntutan kami itu didengar," katanya.
Menyentuh soal penglibatan besar kaum Cina, berbanding kaum lain, beliau melahirkan kekecewaan.
"Hari ini (semalam) ada yang kata 70 hingga 80 peratus peserta adalah
bangsa Cina. Betul..lebih Cina daripada Melayu. Di mana saya agak kecewa
sebab Bersih sebelum ini lebih Melayu dari Cina.
"Kita sebagai satu negara, Melayu, Cina, India tidak boleh lakukannya
tanpa antara satu sama lain. Saya harap selepas kehadiran Tun Dr
Mahathir Mohamad, ada perubahan sedikit nanti (hari ini)," katanya yang
menyertai Bersih untuk kali ketiga.
Manakala seorang lagi peserta, Alex Muniandy, 50 akui sedih dengan
suasana merdeka tahun ini dengan pelbagai isu melanda negara.
"Terus terang saya sedih sebab apa yang berlaku sekarang. Saya rasa amat sukar untuk mencari makan di negara ini sekarang.
"Nak letak nasi atas meja untuk anak-anak kita pun sukar," katanya.
Tambahnya, "apa yang paling mustahak adalah buat reformasi Parlimen.
Jika tidak, perkara yang sama akan berulang seperti sebelumnya."
No comments:
Post a Comment