QURNISHA HAMKA
Azizuddin berpendapat,
orang Melayu berbelah bahagi untuk menyertai perhimpunan itu, disebabkan
ketiadaan parti Islam, PAS. - Foto TRP/ Mokhsin Zamani
KUALA LUMPUR, Ketiadaan PAS dalam perhimpunan Bersih 4 yang berlangsung sejak semalam, menyaksikan lautan manusia yang membanjiri kawasan sekitar Dataran Merdeka didominasi masyarakat bukan Melayu.
Perhimpunan selama 34 jam itu kurang
mendapat sambutan masyarakat Melayu, apabila majoriti peserta dilihat
terdiri daripada orang Cina yang turut bermalam di sekitar Dataran
Merdeka.
Menurut penganalisis politik Universiti
Utara Malaysia, Prof Madya Dr Azizuddin Mohd Sani, orang Melayu berbelah
bahagi untuk menyertai perhimpunan itu, disebabkan ketiadaan parti
Islam, PAS.
Beliau ketika dihubungi The Rakyat Post
menjelaskan, ia dapat dilihat berdasarkan kehadiran peserta bukan
Melayu yang mencatat jumlah agak ramai pada perhimpunan kali ini.
“Sebelum ini, memang kita tengok jelas
bahawa PAS adalah antara mereka yang berada di barisan hadapan, dengan
kewujudan unit amal mereka dan sebagainya.
“Kalau dulu, mereka selalu hantar wakil
macam Dr Idris Ahmad ke, jadi bila PAS tak ada, ahli PAS juga tak ada
yang turut serta, maka bukan Melayu yang ramai hadir.
“PAS walaupun telah ada yang berpecah,
dan GHB (Gerakan Harapan Baru) ada datang, tapi tak ramai Melayu yang
hadir. Jadi, Melayu dilihat berbelah bagi untuk sokong Bersih,” katanya
sebagai mengulas keadaan di himpunan Bersih 4 kali ini.
Jelasnya lagi, kerajaan khususnya Umno perlu mula bimbang, kerana sambutan rakyat terhadap himpunan itu.
Ini jelas menunjukkan satu perubahan
besar dituntut rakyat dan antara perkara lain yang perlu dirisaukan
adalah mengenai sokongan bukan Melayu kepada Barisan Nasional (BN) pada
pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Ini satu perkara yang wajar menjadi kebimbangan Umno dan juga BN, sebab ramai bukan Melayu yang hadir sokong Bersih 4.
“BN juga harus lebih bimbang, sebab
himpunan kali ini, Bersih berjaya melakukannya dengan lebih sistematik
dan berkesan, bermakna mereka boleh menganjurkan program sama
menggunakan kaedah sama,” katanya lagi.
Keadaan itu, tambahnya, akan memberi
kesan buat Umno dan BN, memandangkan Bersih sendiri dalam himpunannya
kali ini, menuntut sebuah kerajaan lebih bersih, di samping mendesak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur.
Malah, jelas Azizuddin lagi, kehadiran
bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Dr
Siti Hasmah Mohamad Ali turut memberi impak kepada kepimpinan kerajaan
BN sekarang.
“Tun Mahathir datang ke Bersih, jadi ini
mampu memberikan satu sokongan simpati kepada Tun oleh penyokong Bersih.
Sudah pasti ini bahaya buat Umno,” ujarnya.
Himpunan kali ini dilihat memberi satu
dimensi baru kepada demonstrasi aman, apabila hampir semua peserta masih
belum bersurai selepas lebih lima jam berhimpun.
Kebiasaannya, peserta demonstrasi akan
bertahan tidak lebih lima jam dan tidak keterlaluan untuk mengatakan
bahawa himpunan kali ini merupakan satu kejayaan buat Bersih.
Salah seorang peserta himpunan Bersih 4,
Azizan Baharom, 58, berkata rakyat adalah yang paling berkuasa untuk
menentukan kedudukan sesebuah kerajaan itu.
Justeru, salah satu usaha yang dapat
diterjemahkan ialah kesanggupan peserta untuk tidur di jalanan, bagi
menyuarakan sokongan mereka terhadap Bersih.
“Kami tiada cara untuk menyuarakan pendapat dan diterima, kami tiada akses kepada televisyen dan sebagainya, ini saja cara kami.
“Kalau kerajaan tak mahu dengar juga
suara rakyat, suara keramat, kita masih ada pilihan raya umum, PRU14
mereka (BN) akan jatuh,” katanya ketika ditemui di kawasan himpunan
peserta demonstrasi Bersih 4, dekat Dataran Merdeka.
Bagi Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat
(PKR) Cabang Kuala Langat, Thilagavathy Salvanathan, Bersih 4 kali ini
merupakan satu kejayaan besar buat rakyat, kerana mereka terus kekal
bersama Bersih sehingga saat-saat akhir himpunan.
Menurutnya, ini adalah respons rakyat terhadap kerajaan yang dakwanya, bertindak zalim dan menindas rakyat.
“Bersih 3 berbanding Bersih 4, ramai lagi
yang hadir, sebab kezaliman dan penindasan, ramai bangkit dan rela
datang untuk tunjukkan kemarahan kepada kerajaan.
“Kali ini, saya rasa dua hari datang sanggup korban tinggalkan keluarga dan tidur di sini.
“Selagi kerajaan tak ubah, memang lagi banyak dapat sambutan, sebab rakyat kecewa dengan kerajaan kini,” katanya
No comments:
Post a Comment