PUTRAJAYA - Anggota keluarga atau suami kepada pesakit wanita yang
dirakam gambar oleh seorang doktor ketika menerima rawatan di sebuah
hospital di Johor Bahru boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap
pengamal perubatan tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani
Karim berkata, tindakan tersebut telah mengaibkan maruah wanita terbabit
apabila gambar berkenaan turut menampakkan bahagian sulitnya.
"Gambar itu kemudian disebarkan menerusi laman sosial sekaligus boleh
memalukan dan menjejaskan imej pesakit wanita terbabit.
"Selain menyalahi etika sebagai pengamal perubatan, doktor dan
kakitangan pada waktu itu tidak wajar merakam gambar kerana mengundang
pelbagai tanggapan negatif kepada hospital," katanya kepada media
selepas mempengerusikan sesi percambahan minda Mesyuarat Majlis
Penasihat dan Perunding Wanita, di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Doktor kongsi gambar nampak 'anu' pesakit dikecam]
Beliau mengulas tindakan seorang doktor wanita di sebuah hospital di
Johor Baharu yang merakam gambar secara selfie sambil menunjukkan
isyarat 'peace' dengan pesakit itu dalam posisi bersalin.
Perbuatan itu telah mengundang kemarahan orang ramai terutamanya
pengguna laman sosial yang turut mengecam aksi merakam gambar terbabit.
Pada masa sama, Rohani meminta orang ramai agar tidak menyebarkan
gambar tersebut kerana ia boleh terus memalukan dan mengaibkan maruah
pesakit wanita berkenaan.
"Bayangkan sekiranya perkara ini berlaku pada diri sendiri, mungkin
kita turut merasa malu seperti dialami wanita terbabit," katanya. -
Bernama
No comments:
Post a Comment