SHAH ALAM - Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk
Akhbar Satar mempersoalkan tindakan kerajaan menyingkirkan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pasukan petugas khas National
Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) yang menyiasat isu 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Menurutnya, ketiadaan SPRM dalam penyiasatan itu mengukuhkan lagi
dakwaan wujud salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dana melibatkan
skandal 1MDB.
“Sesuatu yang amat mengejutkan kerana pasukan baharu ini (NRRET) akan
diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan wakil-wakil
Bank Negara dan pihak polis tetapi tanpa SPRM.
“Ini menunjukkan pihak berkuasa sedang memanipulasi penyiasatan dan
tanpa SPRM, NRRET akan kehilangan taring selain kemungkinan isu 1MDB dan
dana dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak tidak dapat diselesaikan dengan telus,” katanya.
Akhbar turut mempersoalkan peranan Mohamed Apandi yang akan mengetuai pasukan petugas khas tersebut.
“Peranan Peguam Negara dalam pasukan petugas sebelum ini bertindak sebagai pemberi maklumat dan nasihat undang-undang.
“Namun, kini dilantik mengetuai NRRET. Adakah beliau menentukan apa
yang perlu disiasat dan apa yang sepatutnya tidak dan bagaimana siasatan
untuk dilakukan?” soalnya.
Beliau berkata, NRRET perlu diketuai seseorang yang tidak mempunyai
fahaman politik dan memiliki rekod cemerlang untuk tadbir urus baik.
“Kerajaan jangan campur tangan dalam penyiasatan SPRM dan membenarkan
pegawainya untuk menjalankan tugas secara profesional serta bebas
selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan
Pencegahan Rasuah (UNCAC) Perkara 16 (2),'' katanya.
No comments:
Post a Comment