MSO
Segala tindakan Najib Razak termasuk tindakan secara pejam mata
(berani) memecat timbalannya Muhyiddin Yassin, serta tindakan susulan
oleh PDRM tentunya atas arahan Zahid Hamdi yang baru menerima ghanimah
jawatan TPM dari Najib, menahan beberapa individu tertentu tidak akan
menyelesaikan masalah Najib.
Bahkan segala tindakan itu memberi alasan dan hujah baharu kepada
penentang Perdana Menteri itu agar berundur. Tindakan itu menimbulkan
kemarahan dan kebencian baharu kepadanya. Kalau dahulu orang di luar
Umno yang serabut dan benci dengan Najib tetapi tindakan terbaru
mengundang kemarahan dari dalam Umno.
Mereka yang bersimpati dengan Muhyiddin kini sudah lantang menyuarakan
kemarahan dan kebencian kepada Najib. Senario ini akan kelihatan di
sepanjang Umno di semua peringkat mengadakan mesyuarat peringkat
bahagian yang sudah pun bermula kini. Keadaan menunjukkan Umno terbelah
dua akan terpamer dari sikap dan tindak tanduk ahli ekoran tragedi itu.
Najib dalam menghadapi saat-saat genting gagal mengurangkan musuh tetapi ralik menambahkan musuhnya.
Nasib diterima Dr Mahathir Mohamad tahun 1998 ekoran memecat timbalannya
Anwar Ibrahim, dimana Mahathir didesak dan diasak agar melepaskan
jawatan kini sudah berjangkit, badi Mahathir sudah terkena kepada Najib.
Walaupun tidak ada bangkitan segera daripada Umno tetapi momentum ke
arah itu sudah bergerak.
Muhyiddin juga hari ini telah memberi isyarat dia tidak akan membisukan
diri daripada terus memperkatakan isu 1MDB. Muhyiddin kata dia tidak
akan berada dalam sindrom bisu. Ertinya skandal 1MDB akan dijadikan
modal besar untuk Muhyiddin bergerak menggerudi Najib.
Tindakan memecat Muhyiddin itu satu perkiraan mendalam dibuat Najib.
Tindakan itu sebenarnya satu pilihan terakhir yang harus dibuat secara
pantas. Najib tidak ada pilihan kedua atau ketiga, hanya ada satu
pilihan sahaja. Pecat Muhyiddin.
Muhyiddin bukan sahaja setakat menjadi duri dalam daging kepadanya,
tetapi tindakan dan ketegasan Muhyiddin dalam isu 1MDB dan akaun
peribadi Najib menjadikan, sikap Muhyiddin terhadap isu itu menjadikan
ia bagaikan api dihadapan dan duri di belakang bagi Najib. Najib harus
menyelamatkan diri dari keadaan itu.
Najib satu masa sukar untuk mengambil tindakan terhadap Muhyiddin tetapi
dalam masa lain beliau terpaksa berbuat demikian apabila gagal
menjinakkan Muhyiddin. Dipercayai Najib mula tertekan dan hilang akal
apabila Muhyiddin menunjukkkan sikapnya tidak sedia berkompromi dengan
Najib dengan memberi kata dua; berhenti atau Najib memecat beliau.
Sikap Muhyiddin itu menggambarkan beliau sudah tidak boleh lagi untuk
berdiplomasi memikul masalah Najib, berhubung pengaliran wang dana 1MDB
ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu sebanyak RM2.6 billion.
Muhyiddin berbuat begitu kerana dia sendiri berasa malu berketuakan
orang seperti Najib. Sebagai seorang yang dididik dengan nilai-nilai
Islam sedari kecil Muhyiddin tidak sampai hati mengkhianati saksiah
dirinya.
Manakala Najib pula, setelah berada dipersimpangan, yang amat sukar,
akhirnya pada Selasa lepas telah mengambil risiko memecat Muhyiddin
kemudian menyandarkan kepada Zahid Hamidi sebagai batu besar menghalang
gelombang yang bakal meledak ekoran pemecatan itu. Masih menjadi tanda
tanya apakah Zahid mampu menyelamatkan bosnya itu itu atau gelombang itu
turut sama menenggelamkannya.
Zahid sudah pun mula bertindak. Dipercayai penahaan beberapa individu
berautoriti dalam pelbagai agensi seperti Timbalan Pendakwaraya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Sazilee Abdul Khairy
dan dua yang lain Rashpal Singh dan Jessica Gurmeet Kaur, adalah atas
arahan Zahid selaku TPM dan Menteri Dalam Negeri. Tindakan itu dibuat
apabila Zahid sedia mencemarkan dakwat merahnya untuk mempertahankan
Najib, menanda tangani memerintah polis menahan dan siasat mereka.
Penahanan individu berkenaan memberi gambaran betapa terdesak dan
kritikalnya keadaan Najib sehingga terpaksa menggunakan aparat rakyat
untuk membelanya. Tindakan itu terpaska diambil untuk menyelamatkan
kedudukan dan kekuasaan Najib, bukan dibuat atas kebaikan rakyat. Hanya
dengan kuasa yang tersisa yang ada sahaja yang membebaskan Najib dari
penjara? Sampai bila?
Dipercayai lebih ramai lagi akan menjadi
mangsa keadaan yang terwujud oleh Najib ini, dan Zahid akan memainkan
peranan lebih luas lagi. Zahid yang terheret dalam permainan ini secara
tidak langsung telah meletakkan dirinya dalam keadaan serba salah. Nasib
politik Zahid juga akan ditentukan oleh nasib politik Najib.
Zahid sendiri tidak ada pilihan lain untuk menyelamatkan nyawa
politiknya kerana beliau dikenali bukan kumpilan Muhyiddin. Satu masa
Zahid pernah membuat kenyataan akan mencabar kedudukan Muhyiddin dalam
Umno. Chemistry itu menyebabkan Zahid tidak betah dan mempunyai lorong
cerah dalam Umno kalau Muhyiddin menjadi perdana menteri atau presiden
parti.
Kalau satu masa dulu Zahid seakan menyerahkan nasib politiknya kepada
Anwar Ibrahim, tetapi dia terselamat apabila cekap (baca munafik)
mengambil sikap melarikan diri dan mufarakah atau berpaling tadah diri
dari saf Anwar. Zahid yang bersama Anwar tetapi akhirnya meninggalkan
Anwar kesepian dalam penjara.
Perubahan jawatan PM daripada Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad
Badawi memberi peluang kepada Zahid membina semula imej politiknya,
apabila Abdullah mengambil Zahid menyertai kabinet.
Hari ini Zahid yang tidak mempunyai kekuatan (karismatik) politik
tersendiri sudah terheret jauh dalam percaturan politik kuasa Najib dan
menjatuhkan Muhyiddin. Zahid kini walaupun bergelar jawatan timbalan
perdana menteri, hakikatnya dia adalah "algojo" kepada Najib untuk
menggantung sesiapa sahaja yang cuba mencabar dan menganggu Najib.
Justeru keadaan dan kedudukan Zahid, kelamaan dan kependekan dia
memegang jawatan TPM itu bergantung kepada nyawa Najib Razak. Hari ini
Najib berundur esok juga Zahid akan berundur. Atau kedua-duanya akan
terkorban dalam tragedi serangan daripada rakyat jelata yang akan
dimulakan pada bila-bila masa sahaja.
Zahid sebagai kawan dan pembela Najib sedia mengorbankan jari jemarinya
dengan kekotoran kuasa yang ada kepadanya. Lihatlah nanti.
No comments:
Post a Comment