SHAH ALAM: Pertubuhan pro Pakatan Rakyat (PR), Persatuan Ummah
Sejahtera Malaysia (PasMa) akan menghantar sekumpulan sukarelawan untuk
menyokong calon pakatan pembangkang itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)
Permatang Pauh, kata PasMa Selangor.
Timbalan presidennya, Mohamad Abdul Rahman berkata, pasukan sukarelawan
yang akan dikoordinasikan oleh Shakimin Mohd Zain akan dilancarkan
ketika konvensyen PasMa Selangor dan Wilayah Persekutuan pada Ahad.
"Ketika konvensyen itu, kita akan melancarkan skuad sukarelawan
daripada PasMa Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk membantu PRK
Permatang Pauh," katanya, kepada pemberita di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata, sokongan untuk PRK Rompin berkemungkinan dilakukan
PasMa cawangan negeri lain berhampiran kawasan tersebut, seperti
diputuskan jawatankuasa Pusat PasMa.
Semalam, sayap pemuda DAP dan PAS kembali bekerjasama untuk menyokong kempen PR di Permatang Pauh.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Pulau Pinang Ng Wei Aik berkata,
mereka bersedia mengetepikan perbezaan bersama PAS demi kepentingan PRK
Permatang Pauh, yang ditandingi PKR untuk mempertahankan kerusi itu.
Beliau berkata, tindakan itu perlu untuk menyokong kempen PR, dan tidak
bermakna kedua-dua pihak memperbaharui kerjasama mereka.
Hubungan antara dua sayap parti itu terjejas susulan isu hudud, selepas
kerajaan Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II negeri itu pada
19 Mac lalu.
Mohamad bagaimanapun berkata, Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd
Zawawi sudah menemui parti PR untuk membincangkan rancangan jangka
panjang untuk menubuhkan PR sebagai parti politik berdaftar.
"Presiden kami menemui wakil dari DAP, PKR, dan PAS untuk membincangkan ini."
Tambahnya, antara tugasan terbesar mereka adalah memastikan PR
didaftarkan sebagai pakatan supaya membolehkan ia mempunyai logo
sendiri, jawatankuasa organisasi, dan menerima respon yang baik daripada
PKR dan DAP.
"Respon parti-parti baik, tiada masalah dengan PKR dan DAP...PasMa
bagaimanapun melihat PAS ada sesuatu yang ditakuti," katanya.
Dalam konvensyen tersebut, Mohamad menganggarkan kira-kira 200 orang
akan menghadirkan diri dengan kehadiran wakil DAP, PKR, dan PAS.
"Panel kita adalah Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang, Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib, dan Adun Bukit Gasing,
Rajiv Rishyakaran," katanya.
"Ketika forum itu, kami mahu mendapatkan maklum balas orang ramai dan
Pakatan terhadap PasMas," katanya, dan menambah, mahu menjadikan
pertubuhan itu gerakan pro Pakatan.
Dengan tema 'mengukuhkan Pakatan Rakyat', konvensyen itu adalah
sebahagian daripada konvensyen sebelum PasMa menganjurkan konvensyen
mereka penghujung Mei depan. – 22 April, 2015.
No comments:
Post a Comment