BERNAMA
Tiga sekeluarga termasuk warga emas berusia 70 tahun dan cucu lelakinya
rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Teluk Rhu, Sabak Bernam,
awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd
Sani Harul berkata mayat Goh Meng Huat, 70, ditemui pada jam 3.13 pagi
di dalam sebuah bilik.
Sementara mayat anak perempuannya Goh Sim Yen, 34, dan anak lelaki
bongsu Sim Yen berusia tujuh tahun, Tan Jia Wai ditemui di dalam bilik
berasingan, masing-masing pada jam 3.22 dan 3.43 pagi, katanya.
Menurut Mohd Sani, seorang warga Bangladesh dikenali sebagai Mustapa,
30-an, yang bekerja dengan mangsa hanya mengalami kecederaan.
"Ketika kejadian semua mangsa sedang tidur dan isteri Meng Huat tiada di
rumah kerana mempunyai urusan perniagaan. Keluarga Meng Huat
menjalankan perniagaan memborong kelapa dan orang tengah untuk menjual
kelapa yang dihantar orang kampung ke rumah mereka," katanya kepada
Bernama hari ini.
Mohd Sani berkata, dua buah lori, sebuah kereta dan sebuah motosikal turut musnah dalam kebakaran itu.
Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan pada jam 2.27 pagi dan dua
jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam serta Sungai Besar
berserta 14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.29 pagi dan
semua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam
untuk bedah siasat.
Punca kebakaran masih disiasat manakala jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM300,000.
- Bernama
No comments:
Post a Comment