MALAYSIAKINI
Isu mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas kad tambah
nilai telefon prabayar semakin kusut dengan kenyataan berbeza dari dua
anggota Kabinet dari Umno.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
menyebelahi agensinya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang setuju
agar kad tambah nilai tidak dinaikkan.
Menurut Shabery, syarikat telekomunikasi tidak akan kembali mengenakan harga lama seperti sebelum penguatkuasaan GST.
Namun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menyebelahi Jabatan
Kastam Diraja Malaysia, yang menuntut agar telco mengenakan harga lama.
Menurutnya, harga tersebut telahpun ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini.
"Keputusan Kabinet pada 3 April mengatasi keputusan yang lain tentang
isu kad prabayar. Tentu pihak telco sudah tahu tentang ini,” katanya di
Twitter.
Dalam tulisannya itu, beliau turut memuatkan pautan laporan berhubung
keputsan Kabinet bahawa harga kad prabayar tidak akan dinaikkan walau
dengan pelaksanaan GST.
Shabery pula berkata, syarikat telekomunikasi tidak akan dapat
menetapkan harga kembali ke paras asal, seperti diarahkan oleh Kastam.
"Bayaran kad prabayar ini juga melibatkan pembayaran melalui bank serta
pembayaran secara elektronik selain ia melibatkan seramai 30,000 ejen
seluruh negara.
“Perubahan perisian dan sistem perlu dilakukan bagi memastikan ia
berjalan dengan lancar," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.
Tambahnya, SKMM dan Kastam telahpun bersetuju untuk mendapatkan maklum
balas pengguna berhubung pelaksanaan GST sebelum membuat keputusan
lanjut.
Menurutnya, kajian itu akan siap pada minggu ini dan akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet minggu depan, lapor Bernama.
Tinjauan Malaysiakini awal bulan ini mendapati, ada di kalangan
peruncit menghentikan jualan selepas pelaksanaan GST kerana keliru dan
bimbang akan mengalami kerugian.
Menurut kiraan SKMM, jika isian semula itu bernilai RM10, ia akan dijual dengan harga RM10.60
Pengguna juga boleh beli dengan harga RM10 bagi mendapatkan isian semula bernilai RM9.43.
Kastam pula mahu harga tersebut kekal pada harga lama, dengan nilai yang sama dengan harganya.
No comments:
Post a Comment