MALAYSIAKINI
PKR memohon supaya Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan
untuk mengundi pada pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh pada 7
Mei ini.
Naib Presiden Nurul Izzah Anwar berkata bapanya perlu diberi kebenaran
itu memandangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum
ini mengatakan akan mencari mekanisme bagi membenarkan banduan mengundi.
Menurutnya
lagi, pada Julai 2013 Zahid mengumumkan kementeriannya akan mencari
mekanisme bagi membolehkan banduan mengundi pada pilihan raya akan
datang.
"Saya menyambut baik saranan menteri dalam negeri dan mencadangkan agar
pilihan raya kecil Permatang Pauh ini menjadi projek rintis dengan
membenarkan Anwar dibenarkan keluar mengundi pada 7 Mei ini.
"Bukankah tempoh setahun lebih yang diperuntukkan untuk mencari
mekanisme perundangan yang selari antara akta penjara dan Perlembagaan
sudah mencukupi," katanya dalam sidang media di Pusat Media PKR
Permatang Pauh.
Zahid dilapor berkata
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengadakan perbincangan berterusan
dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
bagi membolehkan banduan menunaikan hak mereka sebagai pengundi.
Nurul Izzah juga berkata Akta Penjara 1965 memperuntukkan kuasa
membenarkan mana-mana penghuni penjara hadir ke majlis atau pengebumian
yang tertakluk bawah arahan pengarah penjara dan KDN.
Malah, hak warganegara untuk mengundi ahli dewan rakyat atau ADUN dalam
sebarang pilihan raya terjamin dalam artikel 119, Perlembagaan
Persekutuan, katanya lagi.
"Justeru, saya menyeru agar KDN melaksanakan prinsip asas dengan
membenarkan hak kewarganegaraan dilunaskan oleh Anwar yang menjadi
tahanan politik dengan membenarkan beliau keluar mengundi," kata anak
sulung Anwar itu lagi.
Sementara itu, Bernama melaporkan jentera Pakatan Rakyat pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini, akan terus
menumpukan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Pengarah
Pilihan Raya Pusat PKR Datuk Saifuddin Nasution.
Beliau berkata keputusan itu diambil berdasarkan maklum balas dari 28
Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) PKR bahawa masyarakat Permatang Pauh
lebih mengutamakan isu sistem pencukaian itu berbanding isu lain.
"Penerangan jentera kita tentang isu CBP dan kesengsaraan akibat CBP ini
adalah isu yang paling teratas sekali menerima penerimaan dan sambutan
yang baik dari rakyat.
"Contoh, dengan gerakkan jentera kami dari rumah ke rumah, pasar,
tempat-tempat berhimpun penduduk, dengan menyebarkan risalah seperti
ini, kami dapati petunjuk yang sangat terang dan jelas bagaimana rakyat
begitu resah sekali akibat pelaksanaan CBP," katanya dalam sidang media
itu.
No comments:
Post a Comment