MALAYSIAKINI
Peguam Datuk Hazman Ahmad menarik diri daripada mewakili bekas anggota
Unit Tindakan Khas Cif Inspektor Azilah Hadri dalam kes saman RM100 juta
yang difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu berhubung kematian wanita
Mongolia itu.
Hazman memaklumkan perkara berkenaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk
Suraya Othman ketika kes itu disebut di dalam kamarnya hari ini.
Ketika dihubungi pemberita, peguam itu memberitahu keputusan untuk
menarik diri dibuat berikutan beliau tidak mendapat arahan daripada
Azilah berhubung kes saman itu.
Bagaimanapun, Hazman berkata Suraya meminta beliau mengemukakan
permohonan untuk menarik diri secara rasmi pada tarikh pengurusan kes
saman itu pada 29 Mei.
Sementara itu, peguam Ram Karpal Singh, yang mewakili keluarga
Altantuya, memberitahu pemberita mahkamah memerintahkan pihaknya
memfailkan permohonan bagi membuat pindaan ke atas pernyataan tuntutan
anak guamnya.
"Mahkamah arahkan pihak kami failkan permohonan selewat-lewatnya 28 Mei sebelum tarikh pengurusan kes pada 29 Mei ini," katanya.
Selain Ram dan Hazman, peguam C.F. Kwan hadir bagi pihak penganalisis
politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd
Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar hadir bagi pihak kerajaan Malaysia.
Pada 4 Jun 2007, bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan ibu wanita
Mongolia itu, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka,
Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman
terhadap Azilah, Koperal Sirul Azhar Umar, Abdul Razak dan kerajaan
Malaysia, menuntut pampasan RM100 juta.
Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006.
Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008 tanpa dipanggil
membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada
2009.
Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul
Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, pada 13 Jan lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan
keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah, serta menjatuhkan hukuman
gantung sampai mati terhadap mereka.
Dalam kenyataan tuntutan, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita
itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi,
yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan
teruk.
Mereka mendakwa Altantuya telah ditembak mati dan mayatnya diletupkan
dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar manakala cebisan
mayatnya ditemui di satu kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 7
Nov 2006.
Keluarga itu mendakwa Abdul Razak bersubahat dengan kedua-dua anggota polis terbabit untuk membunuh Altantuya.
Keluarga Altantuya mendakwa akibat daripada perbuatan Azilah, Sirul
Azhar dan Abdul Razak, mereka mengalami kehilangan dan kerugian terutama
kedua-dua anak lelaki Altantuya yang kehilangan kasih sayang ibu serta
satu-satunya pencari nafkah untuk mereka.-Bernama
No comments:
Post a Comment