Chang Yeow (dua, kanan) mengadakan sidang media hari ini.
PERMATANG PAUH - Ada ura-ura Kerajaan Pulau Pinang akan menangguhkan
sidang Dun yang dijadualkan hujung bulan ini untuk membolehkan
pemimpinnya terlibat dalam kempen PRK Permatang Pauh.Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, walaupun perkara itu belum dapat dipastikan tetapi ia tidak mustahil dilakukan oleh kepimpinan DAP yang menerajui kerajaan negeri PR ketika ini.
Beliau berkata, perasmian sidang Dun akan berlangsung pada 30 April ini dan kemudian ditangguhkan seminggu lebih sebelum disambung semula untuk memberi peluang kepada wakil rakyat, terutama dari PKR berkempen di Permatang Pauh.
"Jika perkara ini benar, ia amat memalukan kerana kerajaan negeri mempersendakan peranan dan kedudukan Dun yang menjadi institusi tertinggi perundangan peringkat negeri untuk menggubal dasar.
"Belum pernah dalam sejarah negara ini, ada negeri yang menangguhkan sidang Dun semata-mata untuk membolehkan pemimpinnya berkempen dalam pilihan raya," katanya pada sidang media di bilik operasi BN di sini hari ini.
Menurutnya, sidang Dun yang hanya diadakan dua kali setahun adalah penting untuk menggubal dasar dan membincangkan urusan pembangunan negeri agar semua urusan berjalan lancar.
"Agak malang apabila urusan politik kepartian lebih diutamakan oleh kerajaan negeri berbanding urusan pentadbiran negeri.
"Majlis perasmian sidang Dun terpaksa dilakukan pada tarikh berkenaan sebagai memenuhi syarat dalam peraturan negeri iaitu Dun mesti bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan," katanya.
Menurutnya, ketika menjadi ketua pembangkang Dun suatu ketika dahulu, Penasihat Lim Kit Siang kerap mengkritik kerajaan BN kerana hanya mengadakan sidang Dun dua kali setahun dengan alasan banyak urusan rakyat yang perlu dibincangkan.
Sehubungan itu, Chang Yeow beliau meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi penjelasan mengenainya dan alasan munasabah jika ingin menangguhkan sidang Dun kali ini.
No comments:
Post a Comment