Monday, April 27, 2015

DAP akan terus bongkar isu 1MDB – Guan Eng

WIRA6456

Roketkini.com


SUBANG JAYA: DAP teruskan komitmen untuk membongkar skandal hutang RM42 bilion 1MDB walaupun terpaksa berdepan pelbagai halangan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Berucap di hadapan tetamu acara makan malam kutipan dana Impian Sarawak Guan Eng berkata, setakat ini isu 1MDB diterajui Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berdepan secara terus dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kami telah membayar harga mahal ekoran pembongkaran 1MDB. Tony Pua telah menjadi orang pertama dalam sejarah Malaysia disaman Najib.

“Jika anda fikir anda boleh menutup mulut beliau dan DAP dari membangkitkan isu 1MDB, anda salah.

“Kami tidak akan tunduk dan ia tak akan buat kami menyerah,” tegas Guan Eng.

Tambah Guan Eng, rakyat berhak mendapatkan kebenaran tentang pelaburan yang gagal dibentangkan Putrajaya selain kedudukan kewangan 1MDB.

Kedudukan kewangan 1MDB kini rancak dipersoalkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, membuka mata banyak pihak termasuk adik Najib sendiri, Datuk Seri Nazir Razak yang juga pengerusi kumpulan CIMB.

Nazir dilaporkan kecewa terhadap pengurusan 1MDB apabila menolak jemputan CIMB di acara ‘Invest Malaysia 2015’ anjuran kumpulan perbankan itu.

Melihat perkembangan terbaru itu, Guan Eng menyifatkan pengurusan 1MDB ‘goyah’ dan kerajaan tidak berani menjelaskan isu tersebut kepada rakyat.

“1MDB tak terima jemputan Nazir. Saya kecewa kerana saya fikir selama ini bukankah mereka elemen penting dalam Invest Malaysia, sehingga orang ramai bercakap mengenainya?

“Mereka kata ada hutang RM 42 bilion, kemudian dakwa ada aset RM 52 bilion yang boleh bayar hutang. Bagaimana mereka dapat RM 52 bilion itu?

“Mereka ini hanya tahu sebut nombor. Saya akauntan, saya tahulah. Mereka hanya sebut harga yang tinggi,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insider.

“(Tetapi) apabila jualan tak sampai angka itu, dari situ kita tahu 1MDB sebenarnya sedang bankrap,” ujar Guan Eng – Roketkini.com


No comments: