MALAYSIAKINI
Polis akan menutup beberapa laluan menghala ke Institut Kemahiran Belia
Negara (IKBN) bagi melancarkan proses penamaan calon pilihan raya kecil
(PRK) Parlimen Permatang Pauh, esok.
Jurucakap Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk PRK Parlimen Permatang
Pauh, ACP Azmi Adam berkata polis terpaksa menutup laluan berkenaan
mulai 7 pagi sehingga proses penamaan calon itu selesai bagi mengelak
kesesakan trafik di kawasan berkenaan.
Penutupan laluan tersebut ialah daripada lampu isyarat Jalan Mengkuang,
persimpangan Jalan Berapit dan Jalan Tok Elong, katanya pada sidang
media.
"Pemandu dinasihatkan meletakkan kenderaan di kawasan yang telah
ditetapkan dan mengikut arahan polis trafik yang bertugas. Selain itu
penyokong parti yang bertanding supaya datang awal ke pusat penamaan
calon," katanya.
Beliau berkata penyokong Barisan Nasional (BN) dinasihatkan menggunakan
Jalan Mengkuang untuk ke pusat penamaan calon kerana mereka akan berada
di sebelah kiri IKBN manakala penyokong PKR diminta mengunakan Jalan
Berapit bagi mengelak bertembung dengan pihak BN.
Azmi berkata hanya calon, pencadang dan penyokong calon untuk parti yang
bertanding sahaja dibenarkan masuk ke perkarangan IKBN Bukit Mertajam
bagi proses penamaan calon.
"Polis telah menetapkan kawasan bagi setiap penyokong parti yang hadir
dan jarak antara mereka adalah 300m bagi mengelak sebarang kemungkinan
jika berlaku provokasi antara mereka. Polis juga menyediakan lokasi
untuk penyokong calon Bebas tetapi saya percaya mungkin tidak banyak
(penyokong calon bebas)," katanya.
Beliau berkata 300 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang proses penamaan calon berkenaan.
"Penunggang motosikal yang mahu ke pusat penamaan calon juga
dinasihatkan tidak membawa bendera parti atau apa sahaja bendera bagi
mengelak gangguan di jalan raya sehingga boleh menyebabkan kemalangan.
Mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan saman oleh polis," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment